BNM syor denda 1MDB RM23 juta, tapi AG kurangkan jadi RM15 juta, kata Zeti


Zeti memberitahu ketidakupayaan 1MDB untuk membawa balik wang itu dan memberikan bukti mengenai status dana mengakibatkan kompaun dikenakan ke atas dana kekayaan berdaulat itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2023.

BEKAS Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz hari ini mendedahkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bank pusat itu sebenarnya sudah mengesyorkan penalti RM23 juta terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), namun Peguam Negara (AG) mengurangkan jumlah denda kepada RM15 juta.

Saksi berumur 76 tahun itu berkata untuk mengenakan penalti BNM memerlukan persetujuan atau kebenaran AG pada masa itu.

“AG menolak jumlah yang disyorkan oleh kami. Kami (BNM) mengesyorkan RM23 juta, namun AG mengurangkannya kepada RM15 juta,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-46 itu berkata demikian ketika ditanya peguam utama Najib Razak Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan bekas perdana menteri itu yang membabitkan dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Mohamed Apandi Ali merupakan Peguam Negara pada ketika itu.

Dalam kenyataan saksinya, Zeti memberitahu ketidakupayaan 1MDB untuk membawa balik wang itu dan memberikan bukti mengenai status dana mengakibatkan kompaun dikenakan ke atas dana kekayaan berdaulat itu.

1MDB membayar kompaun pada 25 Mei 2016.

Muhammad Shafee: Adakah terdapat sebarang percubaan oleh menteri kewangan ketika itu (Najib) untuk mengetepikan denda yang dikenakan ke atas 1MDB ini? Zeti menjawab, “Saya tidak tahu”.

Selain itu, Zeti juga menegaskan AmBank memberitahunya Najib akan membuka akaun dengan bank itu tetapi berkata pengarah urusan bank berkenaan Cheah Tek Kuang tidak memberitahunya ada derma yang dijangka akan masuk.

Zeti sekali lagi menegaskan bank pusat tidak menjalankan kajian sewajarnya ke atas akaun individu dan itu adalah kewajipan institusi kewangan masing-masing.

Keterangan Zeti dilihat bercanggah dengan keterangan Cheah sebelum ini sebagai saksi pendakwaan ke-39 dalam perbicaraan 1MDB yang sama apabila katanya dia memberitahu Zeti mengenai ‘derma’ yang dikatakan akan tiba. 

Cheah pada 4 Oktober 2022, memberitahu Mahkamah Tinggi dia mengikuti arahan pengerusi AmBank dan pergi ke rumah Najib pada awal 2011 untuk membantu Najib dengan dokumen pembukaan akaun bank dan Najib mendakwa akan ada AS$100 juta derma yang datang dari kerajaan Arab Saudi untuk beliau khusus bagi pelaksanaan aktiviti berkaitan Islam.

Najib, 70 menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – Bernama, 28 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen