India, Asean setuju kaji semula FTA menjelang 2025


INDIA dan negara anggota Asean pada Isnin lepas  (21 Ogos) bersetuju untuk mengkaji semula pakatan perdagangan bebas bagi barangan dan menetapkan matlamat untuk memuktamadkan proses itu menjelang 2025, kata Majlis Perniagaan Asean-India (AIBC).

Pengerusi bersama AIBC, Ramesh Kodammal berkata Jawatankuasa Bersama Perjanjian Perdagangan Barangan Asean-India (AITIGA) yang ditandatangani pada 2009 itu membincangkan pelan hala tuju untuk kajian semula itu dan memuktamadkan terma rujukan untuk rundingan baharu sebelum mesyuarat Menteri Ekonomi Asean-India ke-20 di Semarang, Indonesia pada 21 Ogos.

Beliau berkata kajian semula AITIGA kini akan dibawa ke Sidang Kemuncak Pemimpin India-Asean yang dijadualkan pada awal September sebagai panduan seterusnya.

“Kajian semula AITIGA merupakan permintaan lama perniagaan Asean dan India dengan kajian semula lebih awal dapat membantu memudahkan perdagangan dan saling menguntungkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mesyuarat Menteri Ekonomi Asean-India ke-20 dihadiri oleh menteri ekonomi atau wakil mereka dari semua 10 negara Asean. Republik Demokratik Timor-Leste turut menyertai mesyuarat sebagai pemerhati.

Media antarabangsa melaporkan para menteri mengkaji semula hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala antara India dan Asean dan menekankan komitmen masing-masing untuk mengukuhkan dan meningkatkan perkongsian ekonomi bagi memastikan Perkongsian Strategik Komprehensif Asean-India memberi manfaat yang bermakna kepada kedua-dua pihak, khususnya dalam era pasca pandemik.

India dan Asean merekodkan perdagangan bernilai AS$131.5 bilion pada 2022-23. Perdagangan dengan Asean menyumbang 11.3% daripada perdagangan global India pada 2022-23.

Para menteri juga berinteraksi dengan AIBC dan mengambil maklum aktiviti yang dijalankan oleh AIBC pada 2023, termasuk Sidang Kemuncak Perniagaan Asean-India ke-5 yang berlangsung pada 6 Mac 2023, di Kuala Lumpur. – Bernama, 28 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen