Perancis larang pakai abaya di sekolah


Abaya atau jubah panjang longgar yang lazim dipakai oleh wanita Islam akan dilarang dipakai di sekolah-sekolah Perancis. – Gambar AFP, 28 Ogos 2023.

PIHAK berkuasa Perancis akan melarang pemakaian abaya atau jubah di semua sekolah, kata menteri pendidikan negara itu pada Ahad.

Gabriel Attal berkata keputusan itu dibuat atas alasan pakaian yang lazim dipakai wanita Islam itu bertentangan dengan undang-undang sekular pendidikan Perancis.

“Abaya tidak lagi dibenarkan dipakai di sekolah”, katanya secara langsung di saluran televisyen TF1. 

Attal berkata beliau akan memberi “arahan yang jelas” di seluruh negara menjelang sesi persekolahan dibuka semula mulai 4 September.

Larangan itu diumumkan selepas isu pemakaian abaya di sekolah-sekolah Perancis dibahas selama berbulan, selain pemakaian tudung  ke atas wanita Islam.

Pengumuman menteri pendidikan itu disambut baik pihak yang sebelum ini mendesak supaya larangan itu dilaksanakan.

Isu pemakaian abaya mencetus perdebatan hangat termasuk antara guru dan ibu bapa selepas pakaian itu dilaporkan semakin banyak dipakai di sekolah. – AFP, 28 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen