Kemasukan pelajar ke politeknik, kolej komuniti meningkat hampir 20%


Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Mohd Zahari Ismail berkata antara bidang pengajian yang mendapat permintaan tinggi di politeknik dan kolej komuniti ialah kejuruteraan elektrik dan elektronik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos 2023.

KEMASUKAN pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke politeknik dan kolej komuniti meningkat hampir 20% pada Sesi Akademik I 2023/2024, demikian menurut Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Kementerian Pendidikan Tinggi.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Mohd Zahari Ismail berkata statistik pendaftaran pelajar baharu setakat 25 Ogos menunjukkan politeknik dan kolej komuniti menerima kemasukan pelajar baharu seramai 26,539 orang bagi sesi kali ini berbanding tahun lepas atau sesi sebelum ini iaitu 22,634 pelajar.

“Ianya merupakan satu lonjakan yang agak besar dan sesuatu di luar jangkaan kita. Saya ingin mengucapkan tahniah terutamanya kepada Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, JPPKK atas usaha berterusan mereka untuk meningkatkan enrolmen pelajar di politeknik dan kolej komuniti,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata daripada 36 politeknik seluruh negara, 10 turut berjaya mencatatkan penerimaan kemasukan pelajar baharu yang cemerlang apabila melebihi 100%, manakala 24 daripada 105 kolej komuniti pula menerima kemasukan pelajar yang amat memberangsangkan.

Antara bidang pengajian yang mendapat permintaan tinggi di politeknik dan kolej komuniti ialah kejuruteraan elektrik dan elektronik, kejuruteraan mekanikal (automotif), kejuruteraan awam, seni bina, teknologi makanan, teknologi maklumat (teknologi digital), teknologi kreatif, seni kulinari, bidang perdagangan dan bidang pelancongan dan hospitaliti.

“Sesi pendaftaran pelajar masih dibuka sehingga 18 September depan dengan menyasarkan seramai 32,000 orang pelajar baharu akan hadir mendaftar di politeknik dan kolej komuniti bagi sesi kali ini,” katanya. – Bernama, 28 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen