Pesawat terhempas 3 tentera marin AS maut, 20 cedera


Tiga tentera marin AS maut dalam nahas sebuah pesawat tentera ketika menjalani latihan di luar pantai utara Australia pada Ahad. – Gambar Facebook US Marine Corps, 27 Ogos, 2023.

TIGA tentera marin Amerika Syarikat (AS) maut dalam nahas sebuah pesawat tentera ketika menjalani latihan di luar pantai utara Australia pada Ahad.

Marine Rotational Force (MRF) Darwin mengesahkan tiga orang anggotanya meninggal dunia manakala lima yang lain dalam keadaan serius di hospital.

Pesawat MV-22 Osprey terhempas dengan 23 orang anggota di atasnya kira-kira 9.30 pagi waktu tempatan (2330 GMT pada hari Sabtu), lapor Xinhua.

“Tiga disahkan meninggal dunia manakala lima lagi dibawa ke Hospital Diraja Darwin dalam keadaan serius,” menurutnya dalam satu kenyataan.

“Usaha pemulihan sedang dijalankan. Punca kejadian sedang disiasat. Butiran lanjut akan diberikan seiring perkembangan situasi.”

Pesawat itu jatuh di Pulau Melville kira-kira 60 km ke utara Darwin, ibu negeri Northern Territory (NT), di Laut Timor semasa latihan rutin.

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis NT Michael Murphy memberitahu pemberita pada sidang media 23 marin cedera dalam nahas itu.

“Mereka yang cedera ialah 23 tentera Kor Marin AS dan kami melakukan segala yang kami mampu untuk mengembalikan mereka dengan selamat kembali ke Darwin untuk rawatan,” katanya.

“Tambahan anggota polis dan pertahanan dikerahkan ke Pulau Melville untuk menyokong operasi, memberi rawatan kepada individu yang cedera dan membawa mereka kembali ke Darwin dan juga mengawal lokasi nahas sementara siasatan diteruskan.”

Jabatan Pertahanan Australia sebelum ini mengesahkan semua anggota di dalam pesawat itu adalah warga Amerika. – Bernama, 27 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen