CALON Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman dilihat individu yang tepat dapat membantu penduduk menangani isu kelemahan sistem penyelenggaraan perparitan dan banjir kilat yang sekian lama membelenggu penduduk kawasan itu.
Bagaikan satu kebetulan, Nazri, bekas jurutera di Majlis Perbandaran Muar (MPM), kini sedang menyiapkan kajian peringkat doktor falsafah (PhD) berkaitan sistem hidrologi berhubung masalah banjir kilat dan sedang menunggu panggilan untuk pembentangan viva.
Beliau berkata apabila siap kelak, dapatan kajian berkenaan akan digabungkan bersama satu lagi dapatan penyelidikan yang sedang dibuat satu konsultan dilantik MPM bagi menjalankan kajian di kawasan hotspot banjir untuk menangani isu itu.
“Semasa saya bertugas sebagai jurutera di MPM, satu konsultan dilantik untuk membuat kajian jangka panjang dan pendek untuk selesaikan masalah banjir kilat yang sekian lama dihadapi penduduk di sini. Saya difahamkan dapatan kajian awal akan dibentangkan pada hujung bulan ini.
“Hasil kajian (PHD) yang saya lakukan itu kemudian akan diselarikan dengan dapatan oleh pihak berkenaan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran untuk memperoleh penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah itu,” katanya.
Nazri, 56, seorang anak jati Simpang Jeram, berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Muar di Muar, Johor hari ini.
Timbalan Ketua Amanah kawasan Bakri itu berkata, berdasarkan pertemuannya dengan penduduk sekitar, masalah banjir kilat dan sistem perparitan sememangnya sering bermasalah terutama di Taman Mulia Sungai Abong dan di Batu 6.
“Saya sendiri sebagai jurutera yang bertugas dalam isu sistem perparitan seluruh bandar Muar melihat ada sebahagian kecil hotspot perlu naik taraf sistem perparitan iaitu membabitkan kawasan rendah,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan masalah banjir kilat dan kelemahan penyelenggaraan sistem perparitan merupakan antara isu yang diharap dapat diatasi supaya memberikan keselesaan kepada penduduk di kawasan Simpang Jeram terutamanya sekitar Sungai Abong.
Ketua Kampung Sungai Abong, Ab Kahar Mashuri berkata masalah banjir kilat yang berlaku berpunca daripada sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan sempurna, selain pembangunan kawasan yang semakin meningkat. – Bernama, 27 Ogos, 2023.
Komen