PAS patut berhenti melabelkan DAP sebagai musuh Islam, kata Setiausaha Agung Anthony Loke hari ini.
Beliau turut menggesa parti Islam itu untuk berhenti menggunakan partinya sebagai bahan politik demi kepentingan mereka.
Tambahnya, bantahan DAP dalam isu Hudud tidak menjadikan ia musuh Islam.
Malah DAP juga pernah bekerjasama dengan PAS ketika mereka mencapai persetujuan dalam beberapa isu, katanya lagi.
“DAP konsisten dalam pendirian kami sepanjang kerjasama politik dengan PAS yang kami akan fokus kepada isu yang dipersetujui bersama tetapi mengambil pendekatan ‘setuju untuk tidak bersetuju’ dalam isu yang tidak mencapai consensus.
“Isu teras yang kami tidak boleh setuju adalah pelaksanaan undang-undang Hudud.
“DAP konsisten dalam perkara itu kerana pelaksanaan Hudud tidak selari dengan sistem perundangan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Beliau turut menegaskan yang selain DAP, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga menolak Hudud.
“Jika mereka terlupa pendirian Dr Mahathir kerana sudah jadi kawan sekarang, mereka boleh rujuk kepada (laporan) media mengenainya.
“Pendirian kami membantah pelaksanaan Hudud tidak bermakna kami menentang Islam.
“Dr Mahathir juga membantahnya, begitu juga parti lain seperti MCA, MIC dan Gerakan.
“Mengapa DAP selalu dilabelkan PAS sebagai ‘musuh’ Islam? Bukankah ia hanya penipuan untuk menjadikan DAP bahan permainan politik mereka?”
Loke, yang juga menteri pengangkutan, mengulas ucapan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Johor semalam yang berkata kepimpinan DAP meminta PAS “meninggalkan” Islam ketika kerjasama mereka dahulu.
Loke bagaimanapun menafikan dakwaan itu, berkata DAP tidak pernah meminta PAS “membuang Islam sepanjang mereka bekerjasama.
DAP dan PAS pernah menjalinkan kerjasama politik menerusi Pakatan Alternatif (1999-2002) dan Pakatan Rakyat (2008-2015). – 27 Ogos, 2023.
Komen