Rendahkan diri dan hormat orang lain, kata MCA kepada Pemuda Umno


Naib Presiden MCA Ti Lian Ker menyelar kenyataan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh berkaitan isu modul 40 hadis yang dianggapnya kasar dan tidak beradab. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2023.

KEBIMBANGAN dibangkitkan beberapa pihak berkenaan keputusan kerajaan memperkenalkan modul “40 Hadis Imam Nawawi 40” berasas dan perlu ditangani sewajarnya, kata Naib Presiden MCA Ti Lian Ker.

Beliau turut menyifatkan kenyataan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh mengenai isu tersebut sebagai “kasar” dan “tidak beradab”.

“Akmal perlu bersikap rendah diri dan menghormati undang-undang dan perlembagaan dengan membenarkan ibu bapa, pemimpin agama, NGO dan pihak lain yang bimbang diberikan penjelasan tentang cara, kedalaman dan isi kandungan modul tersebut.

“Apabila Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) menimbulkan kebimbangan mereka, ia adalah kebimbangan berasas untuk semua.

“Apabila Presiden MCA Wee Ka Siong menimbulkan kebimbangan tentang penggunaan perkataan ‘perintis’ dan ‘memperluaskan’ yang mewujudkan keraguan, kekeliruan dan menuntut penjelasan; ini adalah kebimbangan berasas dan hak yang perlu dihormati.

“Kenyataan Akmal yang ‘jika sesiapa mempersoalkan (modul 40 Hadis Imam Nawawi), samada kawan atau lawan, perlu bersiap sedia berdepan Pemuda Umno’ adalah kasar dan tidak beradab.

“Kelakuan Pemuda Umno seperti inilah yang menjejaskan imej awam Umno dan Barisan Nasional di mata dan fikiran rakyat Malaysia pelbagai kaum,”kata Ti dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Tambahnya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri mendengar kebimbangan Wee berkaitan modul itu berusaha menenangkan rakyat bukannya “memaksa” cadangan itu dengan cara “angkuh, tidak hormat dan bongkak.”

Wee sebelum ini penggunaan perkatan “diperluaskan” ketika pengenalan modul itu menimbulkan persoalan samada pelaksanaanya akan melibatkan semua pelajar tanpa mengira latar belakang agama mereka.

Beliau dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata modul itu mencetuskan kebimbangan awam kerana terma “projek perintis” digunakan sebelum ia diubah kepada terma “diperluaskan.”

Pada Jumaat Anwar menjelaskan yang modul tersebut hanya untuk pelajar Islam di sekolah agama.

Tambahnya, kerajaan tidak akan memaksa pelajar bukan Islam menghafal atau belajar modul 40 hadis tersebut. – 27 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen