Mahkamah Iran arah AS bayar pampasan AS$330 juta


Setahun selepas Revolusi Islam 1979 yang menumbangkan kerajaan Shah disokong AS, sekumpulan pemberontak cuba melakukan rampasan kuasa yang didakwa didalangi AS. – Gambar AFP, 27 Ogos, 2023.

SEBUAH mahkamah di Tehran mengarahkan kerajaan Amerika Syarikat membayar AS$330 juta pampasan kerana “merancang rampasan kuasa” terhadap pemerintahan republik Islam yang baru diwujudkan pada 1980, kata badan kehakiman pada Sabtu.

Setahun selepas Revolusi Islam 1979 yang menumbangkan kerajaan Shah disokong AS, sekumpulan pemberontak dianggotai pegawai tentera cuba menumbangkan kerajaan Islam baru ditubuhkan itu.

Agensi berita negara itu IRNA berkata “kebangkitan” diketuai Saeed Mahdiyoun, bekas komander tentera udara Iran berpangkalan di Nojeh, pangkalan tentera udara di wilayah Hamedan.

Beberapa orang terbunuh dalam pertempuran antara pemberontak dan tentera kerajaan dengan berpuluh lagi ditangkap.

“Objektif mereka mahu mengawal kem tentera di seluruh negara dan mensasarkan pusat strategik dan kediaman pemimpin revolusi. Bagaimana usaha itu berjaya digagalkan,” kata IRNA.

Tahun lepas, waris mereka yang terbunuh dalam cubaan rampasan kuasa itu memfailkan petisyen mahkamah di Mahkamah Antarabangsa Iran untuk menuntut pampasan, kata laman web kehakiman Mizan Online.

Mereka menuduh AS “merancang dan melaksanakan” cubaan itu, kata Mizan lagi.

Mahkamah mengeluarkan penghakiman memihak kepada mereka, mengarahkan “kerajaan Amerika untuk membayar plantif 30 juta dolar untuk pampasan kewangan dan moral serta 300 juta pampasan kerosakan,” tambahnya.

Tehran dan Washington tidak mempunyai hubungan diplomatic selepas Revolusi 1979.

Pada 1953, perkhidmatan perisikan AS dan Britain menjadi dalang penyingkiran perdana menteri Mohammad Mossadegh yang menasionalkan industri minyak Iran.

Pada 2016, Mahkamah Agung AS mengarahkan aset Iran yang dibekukan di AS perlu diberikan kepada mangsa serangan yang dipersalahkan kepada Tehran termasuk pengeboman kem tentera laut AS 1983 di Beirut dan letupan di Arab Saudi pada 1996.

Pada Mac tahun ini, Mahkamah Keadilan Antarabangsa memutuskan yang tindakan Washington membekukan aset milik beberapa individu dan syarikat Iran sebagai “tidak berasas”.

Bagaimanapun penghakiman itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mencairkan semula aset hampir AS$2 bilion milik bank pusat Iran yang dibekukan di AS.

Tehran yang menafikan bertanggungjawab dalam serangan seperti dikatakan AS, berkata beberapa siri penghakiman mahkamah AS menganugerahkan mangsa serangan sejumlah AS$56 bilion pampasan. – AFP, 27 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen