SEORANG lelaki bersenjata di Jacksonville, Florida yang didorong kebencian kaum menembak mati tiga individu kulit hitam di sebuah kedai pada Sabtu sebelum menembak dirinya, kata pihak berkuasa.
“Dia menyasarkan kumpulan tertentu dan ia melibatkan orang kulit hitam. Itulah dia katakan dan ia sangat jelas,” kata Syerif Jacksonville TK Waters pada sidang akhbar mengenai lelaki kulit putih bersenjata itu, yang berusia awal 20-an.
Menurut pejabat sheriff, penembak yang belum dikenal pasti, menyerbu kedai Dollar General dengan memakai jaket taktikal, bersenjatakan senapang gaya AR dan pistol.
Manifesto yang ditemui oleh keluarga lelaki itu sejurus sebelum serangan “merincikan ideologi kebencian yang menjijikkan penembak,” kata Waters, dan sekurang-kurangnya satu daripada senjata itu mempunyai lukisan di atasnya.
Tembakan berlaku berhampiran Universiti Edward Waters, sebuah kolej kulit hitam yang bersejarah di negeri selatan AS.
FBI akan menyiasat penembakan itu sebagai jenayah kebencian, kata Sherri Onks, ejen khas biro untuk Jacksonville.
Gabenor Florida Ron DeSantis mengecam tembakan “mengerikan” itu dan menggelar lelaki bersenjata itu sebagai “bangsat”.
“Dia menyasarkan orang berdasarkan kaum mereka, itu sama sekali tidak boleh diterima,” kata DeSantis, yang bersaing untuk menjadi calon parti Republikan bagi pemilihan White Hose 2024.
“Lelaki ini membunuh diri daripada berdepan akibat dan menerima tanggungjawab atas tindakannya dan oleh itu dia mengambil jalan keluar yang pengecut itu.”
Tembakan itu adalah kejadian terbaru dalam siri keganasan senjata api hujung minggu ini di Amerika Syarikat.
Tembakan rambang sering berlaku di seluruh AS, dengan akses mudah kepada senjata api di kebanyakan negeri dan lebih banyak senjata api di negara ini berbanding penduduknya.
Awal hari ini sekurang-kurangnya tujuh orang dimasukkan ke hospital selepas kejadian tembakan rambang di festival Caribbean di timur laut bandar Boston, kata polis.
Sementara itu, dua wanita ditembak pada perlawanan besbol di Chicago pada malam sebelumnya.
Pada malam yang sama seorang remaja berusia 16 tahun ditembak mati dan empat lagi cedera selepas pertengkaran tercetus pada perlawanan bola sepak sekolah menengah di Oklahoma, kata polis tempatan.
Insiden tembakan di Jacksonville berlaku selepas seorang yang mengisytiharkan diri sebagai ketua ketuanan kulit putih membunuh 10 orang kulit hitam dalam kejadian tembakan yang disiarkan secara langsung di sebuah pasar raya di negeri New York AS pada Mei 2022.
Payton Gendron merancang serangan selama berbulan-bulan, menyasarkan Tops Friendly Market di Buffalo kerana populasi Afrika-Amerika yang besar di kawasan kejiranan sekitarnya. Dia mengaku bersalah atas pembunuhan itu pada November.
Kejadian Sabtu di Jacksonville adalah lima tahun selepas kejadian tembakan rambang di bandar itu apabila seorang lelaki bersenjata di pertandingan permainan video membunuh dua dan mencederakan beberapa yang lain sebelum membunuh dirinya sendiri. – AFP, 27 Ogos, 2023.
Komen