SEKURANG-KURANGNYA 22 buruh terbunuh pada Rabu apabila jambatan bagi laluan landasan kereta api yang mereka bina merentasi jurang di timur laut terpencil India runtuh, dengan empat yang lain dikhuatiri maut.
Insiden itu berlaku di Sairang, sebuah bandar sekitar 20km barat laut ibu negeri Mizoram Aizawl—kawasan terpencil negara itu berhampiran sempadan dengan Myanmar.
Rakaman video dikongsi oleh ketua menteri Mizoram Zoramthanga menunjukkan rangka besi yang tumbang ke dalam lembah berhutan.
“Sangat sedih dan terkesan dengan tragedi ini,” tulisnya di X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter.
Zoramthanga menambah beliau bersyukur kerana orang ramai keluar beramai-ramai untuk membantu operasi menyelamat.
Seramai 40 buruh bekerja di tapak itu, menurut Kereta Api Sempadan Timur Laut.
Seorang pekerja agensi itu, yang enggan dikenali kerana tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan media, berkata 22 mayat ditemui.
Empat orang lagi masih hilang, tambahnya.
Satu jawatankuasa ditubuhkan untuk menyiasat punca kemalangan.
“Operasi menyelamat sedang dijalankan dan semua bantuan yang mungkin diberikan kepada mereka yang terjejas,” kata pejabat Perdana Menteri Narendra Modi.
Modi berdukacita dengan kemalangan itu dan mengucapkan takziah kepada mereka yang kehilangan orang tersayang, tambah pejabatnya.
Kerajaan akan membayar sekitar $2,400 kepada waris mereka yang terbunuh, katanya.
Menteri Kereta Api Ashwini Vaishnaw turut mengumumkan pampasan berasingan bagi mereka yang terbunuh atau cedera dalam kemalangan itu.
Bangunan dan binaan runtuh sering berlaku semasa musim tengkujuh Jun-September di India, dengan struktur lama dan tidak kukuh ketika hujan turun tanpa henti.
Sekurang-kurangnya 20 pekerja maut di barat India bulan ini apabila sebuah kren tumbang di atas lebuh raya yang sedang dalam pembinaan di luar ibu kota kewangan Mumbai.
Tahun lalu, sekurang-kurangnya 137 orang maut apabila jambatan pejalan kaki runtuh di negeri Gujerat, menyebabkan ratusan orang terjatuh ke dalam sungai atau berpaut pada serpihan sambil menjerit meminta tolong dalam kegelapan.
Runtuhan jejambat ke jalan yang sibuk di Kolkata membunuh sekurang-kurangnya 26 orang pada 2016.
Pada 2011, sekurang-kurangnya 32 orang maut apabila jambatan yang dipenuhi dengan orang ramai semasa perayaan runtuh berhampiran bandar bukit dan destinasi pelancongan popular Darjeeling.
Dan kurang seminggu kemudian, kira-kira 30 orang terbunuh apabila jambatan pejalan kaki di atas sungai di negeri timur laut Arunachal Pradesh runtuh. – AFP, 27 Ogos, 2023.
Komen