Korea Utara buka semula sempadan kepada rakyat berada di luar negara


Korea Utara menutup sempadannya pada awal 2020 susulan pandemik koronavirus, tetapi terdapat petanda semakin jelas yang negara itu bergerak ke arah pembukaan semula. – Gambar EPA, 27 Ogos, 2023.

KOREA Utara mengambil langkah lebih terbuka berbanding ketika pengasingan era pandemik yang ketat, dengan media kerajaan melaporkan pada Ahad yang rakyatnya di luar negara dibenarkan masuk semula negara itu.

KCNA yang dikendalikan kerajaan berkata Ibu Pejabat Pencegahan Wabak Kecemasan Negeri mengumumkan “warganegara di luar negara dibenarkan pulang ke tanah air”.

“Mereka kembali akan diletakkan di bawah pemantauan perubatan sewajarnya di wad kuarantin selama seminggu,” kata laporan itu.

Ia menambah keputusan itu dibuat “merujuk kepada situasi pandemik di seluruh dunia yang mereda.”

Korea Utara menutup sempadannya pada awal 2020 susulan pandemik koronavirus, tetapi terdapat petanda semakin jelas yang negara itu bergerak ke arah pembukaan semula.

Pegawai China dan Rusia menghadiri perarakan ketenteraan di Pyongyang bulan lalu - kenamaan asing pertama melawat negara itu dalam tempoh beberapa tahun.

Minggu lalu delegasi atlet dibenarkan menghadiri pertandingan taekwondo di Kazakhstan, manakala Air Koryo milik kerajaan membuat penerbangan komersial antarabangsa pertamanya dalam tempoh tiga tahun.

Penerbangan itu tiba pada pagi Selasa di Lapangan Terbang Beijing, dengan wartawan AFP hanya melihat dua warga Korea Utara - dikenali dengan lencana tertera wajah bekas pemimpin Kim Il Sung dan Kim Jong Il - masuk melalui pintu ketibaan. Kedua-duanya tidak bercakap kepada media.

Satu lagi penerbangan Air Koryo menuju ke Pyongyang berlepas sejurus selepas 1 tengah hari, menurut laman web pengesanan.

Agensi Berita Yonhap yang berpangkalan di Seoul menyiarkan foto sejumlah warga Korea Utara berbaris untuk memeriksa bagasi bagi penerbangan itu.

Ditanya mengenai penerbangan itu, kementerian luar China berkata ia meluluskan penyambungan semula perjalanan udara komersial antara Beijing dan Pyongyang.

“Semasa musim penerbangan musim panas dan luruh… pihak China meluluskan rancangan penerbangan untuk penumpang seperti laluan Pyongyang-Beijing dan Beijing-Pyongyang Air Koryo,” kata jurucakap kementerian luar Wang Wenbin semasa taklimat tetap pada Isnin. – AFP, 27 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen