Jakim iktiraf 800 syarikat Taiwan peroleh sijil halal THC


Ekspo Taiwan 2023 dilangsungkan selama dua hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur berakhir hari ini. – Gambar Facebook, 26 Ogos, 2023.

SEBANYAK 1,000 syarikat Taiwan dalam industri halal memperoleh sijil halal dengan 80% daripadanya diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Timbalan Pengarah Pusat Halal Taiwan (THC) Lin Chia Yi berkata, ini adalah usaha mempromosi makanan halal Taiwan ke pasaran negara Islam selain memberi jaminan kepada pelanggan Islam makanan yang disediakan selamat dan halal untuk dimakan.

“Taiwan bukan negara Islam dan kami tidak memiliki begitu banyak produk halal jadi kami menggalakkan syarikat Taiwan memohon sijil halal supaya pelanggan rakyat Malaysia (yang beragama Islam) berasa selamat untuk mengambil makanan itu,” katanya kepada media pada Ekspo Taiwan 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, THC menjalin kerjasama rapat dengan Perbadanan Pembangunan Industri Halal Berhad (HDC) serta bersama-sama menganjurkan Forum Halal Malaysia dan Taiwan di Taiwan bulan lalu dengan menjemput pakar HDC untuk menjelaskan mengenai pasaran negara Islam, peraturan serta proses permohonan mendapatkan sijil halal.

“Kami juga mendapati pensijilan halal Malaysia dibangunkan dengan baik sekali,” katanya.

Beliau berkata ketika ini, THC bekerjasama dengan 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd (7-Eleven) dalam mempromosi produk Taiwan dengan menganjurkan Festival Makanan Halal Taiwan di lebih 50 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara dan berharap dapat mencapai 200 kedai menjelang akhir tahun ini.

Lin berkata, kerjasama dengan pengimport dan pengedar tempatan juga antara strategi dalam mempromosi makanan halal Taiwan.

“Antara makanan halal Taiwan utama yang diimport adalah minuman berbuih, biskut tawar, mi segera, makanan dalam tin dan rempah ratus. Yang terdapat di pavilion kami adalah madu asli, ekstrak ikan, teh labu air dan minyak cili,” katanya.

Pengurus Syarikat Madu Lebah Green Up Yu Ting Tseng pula berkata, produk Madu Lebah Du Du Jia adalah jenama platinum yang memperoleh sijil halal sejak tahun lalu dan berharap dapat menembusi pasaran negara Islam bermula dengan Malaysia.

Bagi Pengurus Besar Pao Chi Chung Enterprises John Ju, beliau adalah generasi ketiga syarikat pengeluar sos cili halal yang berhasrat meneroka pasaran halal di Malaysia kerana kebanyakan produk mereka lazimnya dibeli secara pukal oleh restoran Cina yang mesra Muslim. – Bernama, 26 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen