India kuat kuasa duti eksport 20% ke atas beras rebus


Kerajaan India menetapkan duti 20% ke atas eksport beras rebus (parboil) berkuat kuasa serta-merta. – Gambar Facebook, 26 Ogos, 2023.

KERAJAAN persekutuan India pada Jumaat menetapkan duti 20% ke atas eksport beras rebus (parboil) berkuat kuasa serta-merta, lapor agensi berita Xinhua.

Arahan yang dikeluarkan oleh kementerian kewangan itu bertujuan untuk menyemak kenaikan harga serta memastikan bekalan dalam negara mencukupi.

Mengikut pemberitahuan berkenaan, duti eksport itu berkuat kuasa serta-merta dan kekal terpakai sehingga 16 Oktober 2023.

Susulan sekatan baharu itu, India menetapkan sekatan ke atas semua jenis beras bukan basmati, yang menyumbang kira-kira 25% daripada jumlah eksport beras India.

Pengenaan duti sebanyak 20% ke atas eksport beras rebus itu berkemungkinan akan melonjakkan lagi harga di peringkat global.

Bulan lalu, Tabung Kewangan Antarabangsa menggalakkan India supaya menghapuskan sekatan ke atas eksport kategori beras tertentu kerana tindakan itu akan memberi kesan kepada inflasi global dan memburukkan lagi turun naik harga makanan di seluruh dunia. – Bernama, 26 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen