PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram uji momentum kerjasama Pakatan-BN


TIRAI “perang” kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram secara rasminya dibuka semalam, sekali gus menyaksikan dua kawasan itu menjadi tumpuan sepanjang tempoh 14 hari akan datang hingga hari pengundian pada 9 September nanti.

Kehadiran barisan “panglima” parti utama yang bertanding membabitkan gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam proses penamaan calon hari ini, cukup untuk memberi gambaran kempen PRK kali ini pasti hangat.

Di pihak PH-BN, kehadiran Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno serta Presiden Amanah Mohamad Sabu pastinya menyuntik semangat kepada calon PH bagi Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat untuk memenangi kerusi yang disandang oleh Allahyarham Salahuddin Ayub sebelum ini.

Turut mengiringi Suhaizan semasa proses penamaan hari ini, Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Majlis Tertinggi serta bekas ahli Parlimen Pulai Nur Jazlan Mohamed, sekali gus menepis dakwaan mengenai penolakan calon PH itu oleh pemimpin BN di negeri berkenaan.

Di Muar pula, Ahli Majlis Tertinggi Umno merangkap Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi menghulurkan sokongan kepada calon yang dipertaruhkan PH, Nazri Abdul Rahman dengan mengiringinya ke pusat penamaan bersama dua Naib Presiden Amanah Adly Zahari dan Mujahid Yusof Rawa serta ahli Parlimen Bakri Tan Hong Pin.

PN juga tidak ketinggalan menurunkan barisan pemimpin tertinggi mereka bagi mengiringi calon di kedua-dua kawasan antaranya Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin dan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.

Turut kelihatan dua Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee dan Radzi Jidin serta Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan bagi mengiringi calon mereka Zulkifli Jaafar di Parlimen Pulai dan Dr Mohd Mazri Yahya di DUN Simpang Jeram.

Menurut penganalisis politik Dr Che Hamdan Che Mohd Razali, kedua-dua kerusi itu pastinya menjadi tumpuan PH-BN dan PN untuk meneruskan momentum semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

“Bagi PN pastinya mereka mahu mengambil momentum daripada PRN lalu untuk membuktikan gelombang yang dikatakan itu mampu sampai ke Johor dan untuk PH-BN pula, ia perjuangan mempertahankan maruah.

“PH-BN perlu bekerja keras, (kerana) bila berlaku PRK, jentera bukannya membabitkan hanya setempat tetapi jentera seluruh negara, tidak boleh pandang ringan, mereka kena menang dengan majoriti lebih besar.

“Ini bagi membuktikan (meskipun) pada PRN lalu, banyak kerusi dicuri PN, di Johor ni, PH-BN masih mampu kekal berpengaruh dengan majoriti besar lebih-lebih lagi ini kali pertama kedua-dua parti itu bergabung di negeri ini,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Pensyarah kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang itu juga berkata, peranan Onn Hafiz dalam jentera Umno Johor juga dilihat penting supaya akhirnya dapat diterjemahkan kepada undi.

“Keupayaan menteri besar belum lagi teruji memandangkan beliau bukan poster boy pada Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac tahun lalu.

“Kalau beliau (Onn Hafiz) berkempen, perlulah terangkan apa yang sedang dan sudah dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Saya yakin penerimaan rakyat terhadap pentadbiran dan sumbangan kerajaan negeri juga dapat diterjemahkan kepada undi sekali gus menyumbang kemenangan kepada calon PH,” katanya.

Kedua-dua kerusi berkenaan akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru termasuk kehadiran dua calon Bebas iaitu Samsudin Mohamad Fauzi di Pulai manakala S Jegananthan di Simpang Jeram.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya setakat 23 Julai lalu, seramai 166,653 individu layak mengundi bagi kerusi Parlimen Pulai manakala di Simpang Jeram pula 40,379 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat baharu. – Bernama, 27 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen