POLIS menyerahkan kepada pihak berkuasa agama untuk menyiasat kes bacaan doa mengikut agama Islam yang dikesan berlaku dalam satu acara parti MIC, lapor New Straits Times.
Laporan itu memetik kenyataan Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Mohd Shuhaily Mohd Zain yang berkata tiada unsur kesalahan jenayah atau sivil dalam kes itu.
Katanya, kes tersebut akan disiasat selanjutnya oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang sudah pun memulakan tindakan.
“Setakat ini tiada unsur jenayah dan ia lebih kepada isu agama, jadi Jawi akan tangani perkara ini,” katanya seperti dipetik portal itu.
Beliau juga berkata kes berkaitan agama Islam boleh dikenakan tincakan mengikut Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan).
Rakaman video acara parti MIC tersebut tular selepas disiarkan secara langsung di pelantar media sosial pada 18 Ogos lalu.
Ia antara lain memaparkan satu surah al-Quran dibaca dalam acara tersebut yang diadakan mengikut upacara agama Hindu.
Polis Kuala Lumpur dilaporkan menerima aduan berkenaan pada 22 Ogos.
Kes bacaan doa tersebut antara lain mendapat tentangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia yang menggesa siasatan kerana surah al-Quran dibaca pada upacara bukan Islam. – 26 Ogos, 2023.
Komen