PERDANA Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga dua mangsa nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, minggu lalu.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar berkata sumbangan itu disampaikan melalui setiausaha politiknya, Ahmad Farhan Fauzi semalam, semasa menziarahi waris Allahyarham Idris Abdol Talib @ Ramali di Kampung Ketari, Bentong.
Idris adalah pegawai khas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Johari Harun yang turut terkorban dalam insiden itu.
Anwar berkata, Ahmad Farhan juga menziarahi dan menyampaikan sumbangan beliau kepada keluarga Allahyarham Khairil Azwan Jamaluddin di Felda Mempaga 1, Karak.
“Saya turut berdukacita dan mendoakan agar keluarga terus diberikan kekuatan serta ketabahan yang tinggi saat diuji dengan ujian besar ini,” katanya.
Pada 17 Ogos lalu, 10 individu terkorban dalam nahas itu termasuk Johari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang.
Mangsa yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat manakala dua lagi orang awam masing-masing penunggang p-hailing dan pemandu e-hailing yang menggunakan lebuh raya berkenaan. – Bernama, 26 Ogos, 2023.
Komen