Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar AS minggu depan 


RINGGIT dijangka diniagakan dalam jajaran kecil dalam berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan dan didagangkan antara paras 4.63 dan 4.65, kata seorang peniaga.

Ketua Ekonomi dan Eewangan sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelabur dijangka mengambil petunjuk baharu daripada ucapan pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) Jerome Powell pada Simposium Jackson Hole malam tadi.

“Ucapan Powell sangat penting dan akan memberi penjelasan mengenai dasar monetari AS dan akan menentukan nilai ringgit minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dolar AS dijangka kekal kukuh berdasarkan pendirian untuk menaikkan kadar faedah oleh Fed AS.

Pada Jumaat, ringgit mengukuh berbanding dolar AS kepada 4.6385/6430 berbanding 4.6465/6410 pada minggu sebelumnya.

Unit tempatan diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia naik berbanding pound Britain kepada 5.8385/8441 daripada 5.9131/9189 sebelumnya, melonjak berbanding euro kepada 5.0054/0103 daripada 5.0503/0552 dan menambah berbanding yen Jepun kepada 3.1757/1790 daripada 3.1926/1959 sebelumnya.

Sementara itu, Ringgit juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara ASEAN lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4202/4238 daripada 3.4228/4264 minggu sebelumnya dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 303.2/303.7 daripada 303.9/304.2.

Ringgit naik berbanding peso Filipina kepada 8.20/8.21 daripada 8.27/8.28 bagaimanapun merosot berbanding baht Thai kepada 13.2121/2309 daripada 13.1331/1510 sebelumnya.– Bernama, 26 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen