Saingan 3 penjuru dalam PRK Pulai, Simpang Jeram 


PILIHAN Raya Kecil Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September ini, masing-masing bakal menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.

Bagi Parlimen Pulai, calon-calonnya terdiri daripada bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor Suhaizan Kaiat dari Pakatan Harapan (PH), Zulkifli Jaafar dari Perikatan Nasional (PN) dan Samsudin Mohamad Fauzi, calon bebas yang akan menggunakan simbol kunci.

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Pulai, Miswan Yunus pada kira-kira pukul 10.20 pagi.

Terdahulu, Suhaizan yang diiringi seorang pencadang dan penyokong menyerahkan borang pencalonan pada 9.02 pagi, diikuti Zulkifli dua minit kemudian, manakala Samsudin pada 9.08 pagi.

Di Muar, tiga calon yang diumumkan layak bertanding ialah calon PH, Nazri Abdul Rahman yang merupakan Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri, calon PN iaitu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Mohd Mazri Yahya dan calon bebas yang merupakan ahli perniagaan, S.Jeganathan.

Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya N13 Simpang Jeram Jamil Hasni Abdullah pada 10.10 pagi di Pusat Penamaan Calon Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar hari ini

Terdahulu, Jamil Hasni memaklumkan, borang pencalonan daripada Dr Mohd Mazri, yang merupakan pakar perunding vaskular dan pakar bedah endovaskular, diterima pada 9.04 pagi, diikuti daripada Nazri, bekas jurutera di Majlis Perbandaran Muar pada 9.08 pagi dan Jeganathan pada 9.18 pagi.

Jeganathan akan menggunakan simbol gajah pada PRK berkenaan.

Berdasarkan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Parlimen Pulai mempunyai 166,653 pemilih dengan 165,700 pengundi biasa; 927 terdiri daripada polis dan pasangan serta pengundi tidak hadir (PTH) luar negara 26 orang.

Kumpulan pengundi terbesar di Parlimen Pulai meliputi lingkungan umur 21 hingga 29 tahun iaitu 21.05% daripada jumlah pengundi atau 35,074, orang; diikuti 34,235 pengundi (20.5%) daripada umur 30 hingga 39 tahun, manakala kategori 40 hingga 49 tahun mencatatkan 32,271 orang (19.3%).

Sementara itu bagi DUN Simpang Jeram pula melibatkan 40,379 orang pemilih yang terdiri daripada 40,373 orang pengundi biasa dan enam orang pengundi tidak hadir, berada di luar negara.

Kumpulan pengundi terbesar di DUN Simpang Jeram meliputi lingkungan umur 30 hingga 39 tahun iaitu 23.1% daripada jumlah pengundi atau 9,326 orang, diikuti 9,160 pengundi (22.6%) daripada umur 21 hingga 29 tahun, manakala kategori 40 hingga 49 tahun mencatatkan 7,113 orang (17.6%).

SPR menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini sehingga 11.59 pada 8 September dengan pengundian awal 5 September dan hari pengundian pada 9 September.

Kedua-dua PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Allahyarham Salahuddin Ayub, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pada 23 Julai lepas.

Timbalan Presiden Amanah itu mempertahankan kedua kerusi berkenaan buat kali kedua selepas memenanginya pada Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac tahun lepas dan Pilihan Raya Umum ke-15, November tahun lepas. – Bernama, 26 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen