SEKURAANG-KURANGNYA 13 orang termasuk tujuh kanak-kanak maut pada Jumaat dalam kejadian rempuhan khalayak di sebuah stadium di ibu kota Madagascar, Antananarivo, menurut Palang Merah dan ahli parlimen tempatan.
“Sekurang-kurangnya 13 maut dan 107 lagi cedera,” kata Ahli Parlimen pembangkang Hanitra Razafimanantsoa di sebuah stesen radio tempatan.
Palang Merah yang anggotanya berada di tempat kejadian menambah: “Kami tidak mempunyai senarai akhir lagi. Tujuh mangsa bawah umur maut.”
Perdana Menteri negara Lautan India itu, Christian Ntsay, pada awalnya meletakkan jumlah mangsa pada “12 maut dan sekitar 80 orang cedera.”
Rempuhan berlaku di pintu masuk Stadium Barea di mana hampir 50,000 orang berasak-asak untuk menghadiri majlis perasmian Sukan Kepulauan Lautan India.
Punca tragedi itu masih belum disahkan tetapi Palang Merah berkata jumlah korban mungkin akan bertambah.
“Ada ramai orang di pintu masuk yang menyebabkan rempuhan,” kata Antsa Mirado, pengurus komunikasi Palang Merah kepada AFP>
Presiden Madagascar Andry Rajoelina yang hadir majlis perasmian itu mengajak majlis berkabung diadakan.
“Tragedi berlaku kerana tolak menolak. Ada yang cedera dan meninggal dunia di pintu masuk,” katanya seperti disiarkan televisyen.
Sukan Kepulauan Lautan India adalah pertandingan pelbagai acara sukan diadakan di Madagascar sehingga 3 September.
Ia diadakan empat tahun sekali di pulau-pulau Lautan India selama 40 tahun. Edisi terakhir diadakan di Mauritius.
Kemalangan di stadium sering berlaku di Madagascar.
Stadium Barea, terbesar di pulau dengan 28 juta penduduk itu, turut menjadi tempat kejadian rempuhan pada 2019.
Sekurang-kurangnya 16 maut dan berpuluh lagi cedera pada sebuah konsert dianjurkan sempena cuti umum negara itu.
Tiga mangsa adalah kanak-kanak.
Pada 2016, letupan bom buatan sendiri pada sambutan Hari Kemerdekaan menyebabkan tiga maut dan beratus lagi cedera turut berlaku di Stadium Barea. – AFP, 26 Ogos, 2023.
Komen