AS tuduh China, Rusia lindungi Korea Utara


Program nuklear dan satelit Korea Utara adalah ancaman kepada keselamatan dunia, kata Amerika Syarikat. – Gambar AFP, 26 Ogos, 2023.

AMERIKA Syarikat pada Jumaat menuduh China dan Rusia menyekat tindak balas menyeluruh Majlis Keselamatan PBB terhadap pelancaran peluru berpandu Korea Utara, termasuk cubaan Pyongyang pada Khamis untuk meletakkan satelit perisikan di angkasa lepas.

Pada mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan, 13 daripada 15 ahli – kecuali Moscow dan Beijing- mengecam ujian kedua satelit perisikan Pyongyang dalam tempoh tiga bulan yang menggunakan teknologi peluru berpandu balistik.

“Ini sepatutnya menjadi isu yang menyatukan kita tetapi sejak awal 2022, Majlis gagal untuk menjalankan komitmennya kerana sekatan China dan Rusia,” kata Duta AS ke PBB Linda Thomas-Greenfield.

“Ancaman nuclear DPRK semakin bertambah dan Rusia dan China tidak menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa,” tambahnya, menggunakan nama ringkas Republik Demokratik Rakyat Korea, nama rasmi Korea Utara.

Thomas-Greenfield turut mengecam kehadiran pegawai Rusia dan China pada perarakan tentera Korea Utara bulan lepas yang memaparkan dron terbaru serta peluru berpandu berkemampuan nuklear antara benua.

“Mereka meraikan pencabulan resolusi Majlis Keselamatan dan terus menyekat tindakan Majlis,” katanya.

Pada Mei 2022, China dan Rusia menggunakan kuasa veto mereka terhadap resolusi mengenakan sekatan Baharu ke atas Pyongyang, dan tiada resolusi atau deklarasi oleh Majlis Keselamatan terhadap Korea Utara berjaya dicapai sejak itu.

Tindakan terakhir Majlis Keselamatan ke atas Korea Utara yang mendapat sokongan semua ahli berlaku pada 2017.

Wakil China dan Rusia berkata Washington perlu dipersalahkan ke atas pendirian agresif Korea Utara, merujuk kepada latihan tentera berterusan antara AS dan Korea Selatan.

Korea Utara mempertahankan pendirian bahawa program nuklear dan satelit mereka adalah tindakan mempertahankan diri.

“Pelancaran satelit kami adalah pelaksanaan hak sah mempertahankan diri untuk mencegah tindakan ketenteraan Amerika Syarikat yang makin bertambah,” kata Duta Korea Utara Kim Song, menambah yang negaranya tidak pernah mengiktiraf resolusi Majlis Keselamatan terhadap Korea Utara.

Thomas-Greenfield menolak pendirian itu.

“Kita tahu semua kebenarannya: DPRK meletakkan paranoia dan kepentingan diri berbanding keperluan rakyat Korea Utara,” katanya.

“Jentera perang DPRK digerakkan oleh penindasan dan kekejaman,” tambah Thomas-Greenfield.

“Ia memalukan dan ancaman besar kepada keamanan dunia.” – AFP, 26 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen