Pasaran buruh kekal trend meningkat pada suku kedua 2023 


Peningkatan pasaran buruh itu kebanyakannya disumbangkan oleh kenaikan 2.8% dalam bilangan penduduk bekerja.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2023.

PASARAN buruh meningkat 2.4% pada suku kedua 2023 dengan merekodkan 16.73 juta orang walaupun pertumbuhan perlahan dalam guna tenaga dan penurunan lebih kecil bagi penganggur, demikian menurut Sorotan Pasaran Buruh Suku Kedua 2023 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu kebanyakannya disumbangkan oleh kenaikan 2.8% dalam bilangan penduduk bekerja, merangkumi 16.15 juta orang pada suku kedua 2023.

Beliau berkata bilangan penganggur pula turun 9.5% tahun-ke-tahun kepada 581,400 orang, mencatatkan kadar pengangguran negara pada 3.5% semasa suku tahun kedua 2023.

“Peningkatan permintaan terhadap buruh oleh industri telah menyebabkan pertambahan guna tenaga walaupun pada kadar yang perlahan pada suku kedua 2023, membawa kepada pengurangan kadar pengangguran berbanding setahun lalu.

“Keadaan ini telah menyumbang kepada perkembangan ekonomi yang positif di samping persekitaran global yang mencabar dengan merekodkan pertumbuhan yang sederhana sebanyak 2.9% pada suku kedua 2023 berbanding pertumbuhan 5.6% pada suku sebelumnya,” katanya.

Mohd Uzir berkata penyertaan buruh juga mencatatkan kadar tertinggi berbanding tempoh sebelum pandemik untuk merekodkan 70%, iaitu meningkat 0.8 mata peratus daripada suku yang sama tahun lepas.

Mengulas mengenai situasi permintaan buruh pada suku kedua 2023, beliau berkata jawatan dalam sektor swasta bertambah 2.4% kepada 8.83 juta jawatan.

“Jawatan diisi merangkumi 97.9% daripada jumlah jawatan dan berkembang 2.5% kepada 8.64 juta manakala peluang pekerjaan dalam ekonomi ditunjukkan oleh bilangan kekosongan merangkumi 2.1% daripada jawatan, berkurang 0.9% kepada 189,600 kekosongan,” katanya.

Beliau berkata lebih separuh daripada kekosongan jawatan pada suku kedua 2023 adalah dalam sektor pembuatan yang menyumbang 108,000 kekosongan dengan sebahagian besarnya dalam subsektor produk elektrik, elektronik dan optik yang merekodkan 34,200 kekosongan jawatan.

Katanya situasi permintaan buruh yang lebih baik pada suku itu juga dapat dilihat menerusi kenaikan 8.6% bagi bilangan pewujudan jawatan.

Mohd Uzir berkata momentum pasaran buruh dijangka mengekalkan pertumbuhan stabil pada suku akan datang, disokong pembangunan ekonomi berterusan, inisiatif kerajaan dan pelaburan berkualiti yang akan mewujudkan pekerjaan berkualiti dan bergaji tinggi.

“Bagaimanapun, prospek ini tertakluk kepada pelbagai cabaran global dan domestik yang berpunca daripada situasi luar jangka yang mungkin berlaku pada masa hadapan,” katanya.– Bernama, 25 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen