AS nafi laporan dakwa pertimbang batal jual F-16 kepada Taiwan


AS nafi membatalkan penjualan jet pejuang F-16 Blok 70 kepada Taiwan dan mengulangi sokongan padunya kepada Taiwan untuk menaik taraf kumpulan pesawat  F-16 yang sudah lama. – Gambar EPA, 25 Ogos, 2023.

JABATAN Negara Amerika Syarikat (AS) pada Khamis menafikan laporan yang mendakwa Washington menimbang untuk membatalkan penjualan jet pejuang F-16 kepada Taiwan, lapor Agensi Berita Pusat (CNA).

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan dakwaan oleh Presiden Majlis Perniagaan AS-Taiwan (USTBC), Rupert Hammond-Chambers Pentadbiran Joe Biden pada tahun lepas “mengkaji dengan teliti” untuk membatalkan pakej jualan F-16V Taiwan yang diumumkan pada 2019 kerana ia tidak serasi dengan “pendekatan asimetri” AS mengenai pertahanan Taiwan.

Menurut presiden USTBC, penjualan itu dibenar untuk diteruskan memandangkan halangan undang-undang untuk membatalkannya terlalu rumit. 

Beliau berkata selain F-16V, bantuan keselamatan pentadbiran Biden menumpukan “kepada peluru dan pengekalan sistem warisan.”

Dalam satu kenyataan melalui e-mel kepada CNA, jurucakap Jabatan Negara AS berkata laporan yang mendakwa kerajaan AS mempertimbang untuk membatalkan penjualan jet pejuang F-16 Blok 70 kepada Taiwan adalah “palsu” dan mengulangi sokongan padunya kepada Taiwan untuk menaik taraf kumpulan pesawat  F-16 yang sudah lama, selaras dengan dasar lama negara itu untuk membantu Taiwan mengekalkan keupayaan pertahanan.

“Dasar ini kekal konsisten merentas lapan pentadbiran AS yang berbeza dan menyumbang kepada pengekalan keamanan dan kestabilan merentas Selat Taiwan,” menurut jurucakap itu.

Pada Ogos 2019, kerajaan AS mengumumkan program untuk menjual 66 jet pejuang F-16 C/D Block 70, yang dikenali sebagai F-16V, kepada Taiwan dalam pakej bernilai AS$8 bilion.

Menurut anggaran semasa pengumuman itu, dua F-16V pertama akan dihantar ke Taipei pada 2023 dan penyerahan 66 F-16V dijadualkan pada hujung 2026.

Namun dalam satu kenyataan pada Mei, Tentera Udara AS berkata penghantaran dua jet pejuang F-16 pertama ditangguhkan kerana menghadapi “cabaran pembangunan yang rumit” .

Kementerian Pertahanan Negara Taiwan berkata kelewatan penghantaran pertama dua F-16 disebabkan usaha AS untuk menambah baik perisian dan penghantaran kumpulan pertama kini dijadualkan pada suku ketiga tahun depan.

Bagaimanapun, kesemua 66 pesawat F-16 dijangka diserahkan menjelang akhir 2026 mengikut jadual asal, kata kementerian itu. – Bernama, 25 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen