Penghayatan Hadis 40 hanya untuk guru, murid Islam, jelas Kementerian Pendidikan


Kementerian Pendidikan berkata pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi disasarkan kepada guru dan murid beragama Islam sahaja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos 2023.

MODUL Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi hanya akan dilaksanakan untuk pelajar dan guru beragama Islam, kata Kementerian Pendidikan.

Modul itu akan dimulakan dengan program rintis melibatkan 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di seluruh negara.

“Pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi disasarkan kepada guru dan murid beragama Islam sahaja,” kata kementerian dalam satu kenyataan.

Menurut Kementerian Pendidikan pelaksanaan modul itu bertujuan memupuk semangat ihsan, kasih sayang dan memperkasakan kefahaman agama dalam kalangan guru dan murid beragama Islam.

“Inisiatif ini diharapkan mampu melahirkan generasi anak yang baik lagi cerdik seterusnya mengangkat karamah insaniah berdasarkan tiga elemen utama iaitu adab, akhlak dan integriti,” menurut kenyataan itu.

Minggu lepas, semasa mengumumkan pelaksanaan modul berkenaan, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata penghayatan hadis itu bertujuan memastikan nilai pesanan dan perkara baik dalam hadis dibaca dan dihayati.

“Cabaran kita hari ini memastikan semua orang bercakap perkara baik di sebalik kebanjiran idola dan kemarau teladan,” katanya.

Laporan media mengenainya bagaimanapun menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat bukan Islam apabila dipertikaikan oleh Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST).

Majlis itu mendakwa langkah Kementerian Pendidikan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam reaksi balas, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa MCCBCHST untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal dan pengajian Islam.

“Kami ingin mengingatkan kepada pihak berkenaan jangan cuba mengganggu dan campur tangan dalam urusan Islam di negara ini,” kata presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid. –  25 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen