Isu banjir kilat, sistem perparitan perlu ditangani di Simpang Jeram


MASALAH banjir kilat dan kelemahan penyelenggaraan sistem perparitan merupakan antara isu yang diharap dapat diatasi agar dapat memberikan keselesaan kepada penduduk di kawasan Simpang Jeram terutamanya sekitar Sungai Abong, di Muar.

Ketua Kampung Sungai Abong Ab Kahar Mashuri berkata masalah banjir kilat yang berlaku adalah berpunca daripada sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan sempurna, selain pembangunan kawasan yang semakin bertambah.

Beliau berkata kejadian banjir kilat, terutamanya sejak lima tahun kebelakangan ini adalah membabitkan beberapa kawasan perumahan yang sebelum ini tidak berhadapan dengan masalah itu.

“Kita penduduk di kawasan ini berharap beberapa masalah yang dihadapi dapat diatasi termasuk banjir kilat, perparitan dan rumput di bahagian tepi jalan diharap dapat dipotong mengikut jadual.

“Selain itu, saya juga mengharapkan adanya usaha untuk membantu meningkatkan ekonomi kawasan setempat dengan menambah peluang-peluang pekerjaan serta turut membangun kawasan perniagaan baharu,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Kampung Batu 2&3 Bakri, Abdul Rahim Ahmad@Said berharap agar ada usaha untuk terus membangunkan kawasan sekitar Simpang Jeram, terutamanya Bakri.

Menurut Abdul Rahim, pembangunan di kawasan Bakri itu dapat dilihat dengan pertambahan premis perniagaan, namun usaha itu perlulah selari dengan keselesaan penduduk.

“Masalah seperti kesesakan lalu lintas, banjir kilat perlulah diberi perhatian, selain infrastruktur lain, perlu adanya keprihatinan seperti masalah jalan rosak dan berlubang serta pemasangan lampu-lampu jalan bertujuan mengelakkan kemalangan.

“Seperti yang kita ketahui seorang daripada calon ialah jurutera dan jika beliau menjadi wakil rakyat kelak, sudah pastu dia lebih mengetahui bagaimana untuk mengimbangi pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Bagi penduduk Batu 6 Bakri, Nazlan Ahamad, 42, dia berharap agar tiada jurang pembangunan antara kawasan kampung, pekan dan juga bandar, dengan setiap kemudahan dapat dinikmati di setiap pelosok kampung termasuklah kemudahan capaian Internet.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram pada Sabtu ini, diikuti pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pada 9 September. – Bernama, 25 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen