Pemimpin dunia ucap tahniah kepada PM Thailand yang baru dilantik


Srettha, 61, disahkan sebagai Perdana Menteri Thailand ke-30 melalui undian parlimen pada Selasa menamatkan kebuntuan politik berbulan-bulan selepas Pilihan Raya Umum 14 Mei. – Gambar AFP, 24 Ogos, 2023.

UCAPAN tahniah daripada pemimpin-pemimpin dunia datang mencurah-curah kepada Perdana Menteri Thailand yang baru dipilih Srettha Thavisn, menyampaikan ucapan selamat dan harapan mereka untuk mengeratkan hubungan diplomatik dengan kerajaan itu.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Anthony J. Blinken hari ini mengucapkan tahniah kepada Srettha atas perlantikannya sebagai Perdana Menteri baharu Thailand.

“Kami berharap untuk bekerjasama dengan perdana menteri untuk membina Komunikasi Amerika Syarikat dan Thailand tahun lalu mengenai Perikatan dan Perkongsian Strategik, dan untuk mengukuhkan lagi pakatan yang berkekalan antara Amerika Syarikat dan Thailand.

“Kami akan bekerjasama erat dengan pemerintah Thailand yang baharu untuk terus memajukan nilai bersama kami dan wilayah Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, terhubung, damai, dan berdaya tahan, ” menurutnya dalam satu kenyataan.

Blinken berkata tahun ini menandakan 190 tahun hubungan diplomatik rasmi antara Amerika Syarikat dan Thailand, salah satu hubungan diplomatik tertua di dunia.

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim turut mengucapkan tahniah kepada Srettha atas pemilihan beliau sebagai Perdana Menteri Thailand yang baharu.

“Semoga hubungan antara Malaysia dan Thailand akan terus diperkukuh untuk manfaat bersama,” katanya di Facebook pada Rabu yang disertakan dengan klip video yang menunjukkan perbualan Anwar dengan Srettha.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Srettha.

“Bagi pihak Kerajaan Singapura, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan anda sebagai Perdana Menteri ke-30 Kerajaan Thailand. Saya yakin Thailand akan terus berkembang dan maju di bawah kepimpinan anda.

“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan anda untuk meluaskan lagi dan memperdalam hubungan dua hala kita, dan bertemu anda tidak lama lagi. Saya ingin menyampaikan jemputan untuk anda dan isteri Khun Pakpilai untuk melawat Singapura pada peluang yang paling awal. Saya mendoakan kejayaan dan kesihatan yang baik semasa anda memulakan penggal baharu anda,” tulisnya dalam surat ucapan tahniah bertarikh 23 Ogos dan dikeluarkan oleh Kementerian Luar Singapura hari ini.

Dalam pada itu jurucakap Kementerian Luar China Wang Wenbin berkata “Kami mengucapkan tahniah kepada Srettha atas pemilihannya sebagai perdana menteri baharu. Kami percaya rakyat Thailand akan mencapai kejayaan yang lebih besar dalam laluan pembangunan negaranya yang sesuai dengan realiti negara mereka.”

China bersedia bekerjasama dengan Thailand untuk menumpukan usaha membina komuniti yang berkongsi masa depan dan meneruskan ikatan erat kami sebagai jiran, rakan, saudara dan rakan kongsi yang baik dari generasi ke generasi, katanya pada sidang media pada Rabu.

Dalam hantaran X (Twitter), Perdana Menteri India Shri Narendra Modi mengucapkan tahniah kepada Srettha dan berharap dapat bekerjasama rapat dengannya untuk membawa hubungan dua hala India-Thai ke tahap yang lebih tinggi.

Sementara itu Kesatuan Eropah (EU) juga mengucapkan tahniah kepada Srettha di atas pemilihannya sebagai perdana menteri dan berharap dapat bekerjasama rapat dengan kerajaan Thailand untuk mengukuhkan lagi hubungan EU-Thailand dalam menyokong peraturan-ketertiban antarabangsa berdasarkan kestabilan serantau, pembangunan mampan, demokrasi dan hak asasi manusia, kemakmuran, dan perdagangan bebas dan adil.

“Perjanjian Kerjasama EU-Thailand yang ditandatangani pada Disember 2022 memberi peluang untuk memperdalam kerjasama kami merentasi semua bidang kepentingan bersama ini. Kesatuan Eropah menantikan pelaksanaan awalnya di bawah pentadbiran baru, ” menurutnya dalam satu kenyataan.

Srettha, 61, disahkan sebagai Perdana Menteri Thailand ke-30 melalui undian parlimen pada Selasa menamatkan kebuntuan politik berbulan-bulan selepas Pilihan Raya Umum 14 Mei.

Beliau menerima titah bertulis dari Raja Maha Vajiralongkorn dalam satu majlis di ibu pejabat Pheu Thai pada Rabu - sehari selepas beliau mendapat sokongan dari 482 Ahli Parlimen dalam satu persidangan bersama 747 Anggota Parlimen.

Beliau dijangka mengumumkan anggota Kabinetnya dalam beberapa hari akan datang. – Bernama, 24 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen