Petisyen tuntut siasat kegagalan pelaburan Khazanah dilancar


SATU petisyen dalam talian telah dilancarkan untuk menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyiasat kegagalan pelaburan oleh dana kekayaan berdaulat negara Khazanah Nasional Bhd.

Ia susulan pertikaian undang-undang yang dihadapi anak syarikat Khazanah’s Themed Attractions Resorts & Hotels (TAR&H) Sdn Bhd, iaitu TAR PH Sdn Bhd.

Sebagai perdana menteri, Anwar juga merupakan pengerusi Khazanah.

Petisyen tersebut dilancarkan di change.org semalam oleh individu bernama John Low Seong.

Kenyataan petisyen itu mendakwa pasukan pengurusan Khazanah harus bertanggungjawab ke atas pelaburan yang gagal itu. Ia memetik laporan portal berita Scoop, yang memperincikan bahawa TAR PH sedang menghadapi petisyen penggulungan yang difailkan Jana DCS Sdn Bhd, selepas didakwa gagal mematuhi tuntutan berkanun untuk pembayaran tahun lepas.

Petisyen penggulungan menyatakan TAR PH tidak mempunyai pendapatan untuk menjelaskan hutangnya yang bernilai RM94.746 juta selepas penutupan Hotel JEN Johor Puteri Harbour milik TAR PH pada 9 Mei, menurut laporan Scoop.

Hutang itu menjadi asas dalam award timbang tara bernilai RM89.262 juta yang memihak kepada Jana DCS, selepas TAR PH secara salah menamatkan perjanjian berhubung pembekalan kargo bahan pendingin ke hotel itu pada 2012, tambahnya.

Jun lalu, Khazanah dan Boustead Holdings Bhd dilaporkan telah menjual KidZania Singapore yang telah ditutup operasi perniagaannya kepada Sim Leisure Group Ltd yang disenaraikan di Singapura pada harga S$110,000 (RM378,000).

KidZania cawangan Malaysia di Mutiara Damansara juga dijual kepada Sim Leisure Group, dengan harga RM3.8 juta kerana pengurusan tidak berkesan.

Khazanah dilaporkan menyuntik RM550 juta ke dalam TAR&H bagi memastikan perniagaan riadah itu beroperasi. – 24 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen