Modul hadis untuk pelajar Islam sahaja, kata KPM


MODUL baharu ‘Hadis 40 Imam Nawawi” yang bakal diperkenalkan di sekolah awam tahun depan adalah untuk pelajar Islam sahaja, kata Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying.

Beliau berkata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menjelaskan perkara itu semasa mesyuarat pasca Kabinet semalam.

“Kursus ini hanya melibatkan guru dan pelajar beragama Islam. Bagi sekolah Cina dan Tamil, hanya pelajar Islam sahaja yang perlu hadir, bukan pelajar bukan Islam. Ini sangat jelas.

“Menteri secara terbuka dan jelas menyatakan perkara ini kepada timbalan menteri, setiausaha agung, ketua pelbagai jabatan, dan lain-lain yang hadir pada mesyuarat pasca Kabinet,” kata Lim seperti disiarkan dalam Sin Chew Daily hari ini.

Fadhlina melancarkan modul “Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi” pada 18 Ogos bertujuan memupuk nilai-nilai hadis Nabi Muhammad di peringkat sekolah.

Modul itu akan diperkenalkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMKA) dan Sekolah Agama yang dibiayai Kerajaan (SABK) sebelum dilancarkan ke sekolah awam lain.

Modul itu dibangunkan atas saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mahu hadis diajar di sekolah.

Pada masa pengumuman itu, tidak jelas sama ada pelajar bukan Islam juga mesti mempelajari modul baharu itu.

Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari modul itu juga.

Kumpulan itu berkata kerajaan dan menteri pendidikan mesti berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan tidak membenarkan agama mempengaruhi dasar pendidikan. – 24 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen