Pemuda Bersatu desak belia beri segalanya demi PRU14


Nabihah Hamid

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abd Rahman berkata belia di Malaysia tahu fasal politik, walaupun mungkin tiada pengetahuan mendalam terhadap isu politik tertentu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Jun, 2017.

PADA usia 24 tahun, Syed Saddiq Syed Abd Rahman sudah pun mencipta imej dirinya sebagai seorang ahli politik berkeyakinan dan bercita-cita tinggi, tidak gentar dengan halangan, atau berdepan dengan musuhnya.

Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata dia gembira dengan imej itu kerana dia jelas dengan sebab utamanya masuk politik – dia mahu memberi semangat kepada belia untuk bangkit dan membantu pembangkang memenangi pilihan raya akan datang.

“Kini sangat penting bagi malaysia, kerana PRU14 adalah ibu kepada pilihan raya untuk menentukan masa depan Malaysia lagi 20 tahun akan datang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pemenang tiga kali anugerah Pembahas Terbaik Asia pada Kejohanan Debat Parlimen British Asia dan bekas pelajar Maktab Tentera Diraja itu berkata menyertai politik bukanlah rancangan asalnya, tetapi ia kini menjadi minatnya.

“Bila mula-mula saya sertai Bersatu, saya tidak menyangka akan mainkan peranan besar dalam Bersatu, hanya sertai jadi ahli. Dan waktu itu saya sudah pasti untuk sambung pengajian dan tidak mahu jadi ahli politik sepenuh masa,” katanya.

Bagaimanapun, sejak itu dia sedar hanya dengan menyertai politik, dia dapat melakukan perubahan.

Katanya, pesanannya kepada belia, dan sentiasa menjadi pegangannya agak kontroversi tetapi sangat perlu – ketepikan semua kepentingan lain, dan masuk dalam perjuangan untuk menjadikan Malaysia lebih baik.

“Ini adalah masa tepat untuk melabur sebanyak mungkin dalam politik. Dan jika kita menang, saya akan pergi (meneruskan) belajar atau melakukan apa-apa yang saya mahu.” katanya.

Syed berkata belia di Malaysia tahu mengenai politik, walaupun tidak semestinya mereka mempunyai pengetahuan mendalam terhadap isu politik tertentu.

“Mereka ada kesedaran politik. Mungkin mereka tidak tahu secara mendalam (politik) contohnya 1MDB, tidak tahu terperinci tetapi mereka tahu ada salah guna kuasa tetapi masa sama mereka tahu juga masalah pembangkang. Mereka sangat cerdik. Cuma (pembangkang) kena capai lebih lagi ( penglibatan anak muda).” katanya.

Syed yang juga salah seorang daripada tujuh pengasas Bersatu berkata parti itu sangat berusaha untuk menjadi platform kepada belia untuk turut serta dalam membuat dasar masa depan.

Katanya, Pemuda parti itu membentuk 55% daripada keseluruhan jumlah ahli parti dan bekas perdana menteri yang juga pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad sangat menyokong program belia dan aktiviti dianjurkan sayap itu.

Syed berkata beliau berharap dapat bertanding pada pilihan raya umum akan datang, dan mengintai kerusi di kampung halamannya di Johor, yang juga kawasan kubu kuat Umno.

“Kalau boleh hendak (bertanding) di Johor. Sebab itu tempat asal saya. Saya tahu kawasan (Johor) susah untuk menang dan saya tidak kisah kalau kalah,” katanya.  

Sikapnya yang berterus terang, lurus dalam hidup dan politik menyebabkan dia ada ramai peminat, dan juga musuh, sejak awal pembabitannya dalam politik.

Pernah dilarang berceramah di empat universiti tempatan dan diejek “budak kecil” oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazir Aziz, Syed tidak kesal dengan tindakannya dan percaya itu semua mencerminkan keterdesakan keadaan semasa negara.

“Jika lantang bersuara membuatkan saya tidak popular dan membolehkan saya bercakap benar. Saya fikir itulah kos yang perlu saya ambil.

“Ia tidak mudah untuk bercakap mengenai isu-isu yang tidak popular, lebih-lebih lagi anda bercakap benar. Ia tidak mudah tetapi sekurang-kurangnya saya tahu hati saya bersih. Walaupun saya gagal pada masa depan, ia tidak penting.” katanya. – 25 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen