.jpg)
SEMALAM saya melihat banyak akhbar yang melaporkan kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi yang mengatakan mahasiswa bebas untuk terlibat dengan kempen parti politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Kenyataan ini pastinya akan digunakan oleh mahasiswa atau para pensyarah pro-kerajaan sebagai hujah untuk mengatakan kerajaan tidak pernah menyekat kebebasan akademik.
Selain itu, kenyataan seperti ini boleh menjadi modal politik yang berguna untuk Barisan Nasional (BN) memandangkan mereka akan berdepan dengan “mahaguru” mereka sendiri, Dr Mahathir.
Pada PRU14 mereka boleh saja menggunakan modal untuk membenarkan mahasiswa berpolitik secara halal, berbanding mahasiswa yang disekat dan dihalang semasa zaman Dr Mahathir.
Realitinya tidak seindah tajuk berita
Bagi mereka yang terlibat dengan aktivisme mahasiswa yang bersifat politikal, saya berpandangan mereka menyedari tajuk-tajuk berita semalam adalah sekadar jenaka hujung minggu yang tidak selari dengan realiti.
Saya berpandangan sebelum kita melaungkan semboyan mahasiswa boleh berpolitik secara aktif dan halal, maka wajarlah universiti itu terlebih dulu dibebaskan. Pada pandangan saya, kebanyakan universiti hari ini terlalu dikawal oleh pemain politik.
Hal ini menyebabkan ilmu yang sepatutnya bersifat universal telah menjadi “benteng-benteng” untuk melindungi atau mempromosikan seseorang.
Selalunya mahasiswa yang pro-pemerintah dipandang mulia atau tinggi darjatnya pada mata universiti sehingga mampu merangkul pelbagai gelaran “kepimpinan” daripada universiti.
Mahasiswa pro-pemerintah tidak perlu pun menunggu “signal” daripada pihak kementerian untuk menghalalkan keterlibatan mereka dalam dunia politik, mereka tahu posisi mereka.
Hampir mustahil untuk mereka dihukum kerana terlibat dengan parti politik pemerintah. Berbeza dengan mahasiswa yang tidak mesra pemerintah, belum pun mereka melakukan apa-apa aksi, gelaran penderhaka sudah terpahat pada dahi mereka.
Apa yang lebih menyedihkan, sesekali universiti ditekan untuk mengenakan hukuman kepada mahasiswa-mahasiswa yang terlibat dengan aksi “liar” seperti berdemonstrasi atau memberi ucapan-ucapan mengkritik universiti atau pemerintah. Apakah ini yang kita namakan kebebasan untuk berpolitik?
Pensyarah juga harus dibebaskan sekali
Peranan pensyarah penting untuk mendidik mahasiswa, bukan sahaja tentang silibus yang harus dihabiskan tapi pada perkembangan politik tanah air.
Saya harus akui sukar untuk mencari pensyarah yang benar-benar mempunyai nilai “membimbing” adapun kebanyakan pensyarah yang telah memiliki pandangan politik datang dengan hasrat “mengkader”. Namun yang demikian, pensyarah tidak boleh terus dikurung dalam ketakutan.
Mereka mempunyai ilmu-ilmu yang barangkali mampu untuk membantu proses menjadikan negara kita lebih baik. Malangnya, apabila mereka mengeluarkan pandangan yang tidak disenangi oleh universiti/kerajaan, mulalah mereka diancam atau dijatuhkan hukuman.
Jika seorang “profesor” dibenarkan universiti untuk mengkritik Dr Mahathir dengan begitu hebatnya, saya fikir tidak salah untuk mana-mana pensyarah menyuarakan kritikan terhadap kerajaan. Ilmu dan keadilan hal yang sentiasa bersama, manusia tidak boleh mengamalkan satu daripadanya saja, kerana ia akan mencacatkan tindakan.
Seperti juga mahasiswa, sebenarnya keterlibatan pensyarah dalam politik itu memang sudah ada. Namun, seperti masalah mahasiswa tadi, pensyarah pro-pemerintah sering mendapat pelbagai kemudahan dan anugerah berbanding mereka yang “menderhaka”.
Fenomena ini harus dibendung, kita mahu para pensyarah yang berada pada posisi yang tinggi dalam sistem pendidikan formal kita kerana ilmu dan kajian yang dilakukan, bukan sekadar mengampu. Jika sistem menyuntik pensyarah dengan ketakutan ini berterusan, maka amat mudahlah pensyarah “kaki ampu” berada pada posisi tertinggi. Akhirnya nakhoda keilmuan kita dipandu oleh mereka yang hanya tahu mengampu tapi tidak cerdik dalam menerajui.
Jika benar ingin memberi kebebasan, maka bebaskanlah
Ketika Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) dipinda pada 2012, secara undang-undangnya mahasiswa boleh terlibat dengan politik di luar kampus secara halal. Malangnya, sejak tahun 2012 ramai juga aktivis mahasiswa yang terlibat dengan aksi-aksi politik di luar kampus dikenakan tindakan AUKU.
Saya fikir kenyataan Menteri KPT semalam adalah pengulangan daripada hakikat pemindaan AUKU 2012. Oleh itu, saya menyeru kepada semua universiti untuk “membebaskan” mahasiswa berpolitik di luar kampus, biarlah Polis Diraja Malaysia yang menghukum mereka jika didapati melanggar undang-undang.
Percayalah keterlibatan mahasiswa dalam mana-mana aksi politik tidak “mencemarkan” nama universiti, sebaliknya menjadikan universiti itu lebih dikenali. – 29 Mac, 2018.
* Rahman Imuda ialah pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.
Komen