Ketua Wagner, Prigozhin terbunuh nahas pesawat di Rusia 


Yevgeny Prigozhin dilaporkan seorang daripada mangsa nahas pesawat yang terhempas di Rusia pada Rabu. – Gambar Facebook, 24 Ogos, 2023.

KETUA kumpulan askar upahan Wagner maut dalam nahas pesawat pada Rabu, dengan semua penumpangnya terbunuh, kata pegawai Rusia.

Nahas itu berlaku dua bulan selepas Yevgeny Prigozhin melancarkan pemberontakan, yang dilihat sebagai cabaran terbesar kepada kuasa Presiden Rusia Vladimir Putin sejak beliau berkuasa.

Sejak itu ketidakpastian menyelubungi nasib Wagner dan ketuanya.

Kementerian bagi situasi kecemasan Rusia pada Rabu mengumumkan nahas sebuah pesawat persendirian yang dalam perjalanan antara Moscow dan Saint Petersburg.

Menurut maklumat awal, kesemua 10 orang di dalam pesawat maut, termasuk tiga anak kapal, kata kementerian itu.

Agensi penerbangan Rusia kemudian berkata ketua Wagner adalah seorang daripada penumpang.

“Menurut syarikat penerbangan itu, penumpang berikut berada di dalam pesawat Embraer-135 (EBM-135BJ):... Prigozhin, Yevgeny,” kata Rosaviatsia, yang turut menyenaraikan Dmitry Utkin, individu yang menguruskan operasi Wagner dan didakwa berkhidmat dalam perisikan tentera Rusia.

Saluran Telegram dikaitkan dengan Wagner menyiarkan rakaman—yang tidak dapat disahkan oleh AFP secara bebas—menunjukkan serpihan pesawat terbakar di padang.

Rosaviatsia berkata ia menubuhkan suruhanjaya khas untuk menyiasat nahas pesawat milik MNT-Aero itu.

Jawatankuasa Siasatan Rusia berkata ia membuka siasatan berhubung nahas itu.

Lapan mayat ditemui setakat ini di lokasi nahas, kata RIA Novosti memetik kenyataan perkhidmatan kecemasan.

Pembantu presiden Ukraine Mykhaylo Podolyak berkata di media sosial nahas pesawat itu adalah “isyarat daripada Putin kepada golongan elit Rusia menjelang pilihan raya 2024. ‘Berhati-hati! Pembelotan bererti maut’.”

Semasa serangan Rusia di Ukraine, yang dilancarkan pada 24 Februari 2022, Prigozhin menjadi tumpuan.

Beliau menerajui penawanan beberapa bandar Ukraine termasuk Bakhmut—dan mengkritik keras kepimpinan tentera konvensional Rusia. – AFP, 24 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen