Usai PRN, kini masa tunai janji kepada rakyat, kata Adun Pakatan


Angie Tan

Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki berkata ramai yang tidak tahu mengenai pelbagai insentif yang diperkenalkan kerajaan untuk membantu rakyat. – Gambar Facebook, 24 Ogos 2023.

PILIHAN raya negeri (PRN) sudah pun berakhir, kini tiba masa untuk menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat selepas dipilih sebagai Yang Berhormat, kata Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki.

Setiausaha publisiti DAP Selangor itu berkata sejak kempen PRN lagi beliau sudah mengenal pasti masalah di kawasannya yang mempunyai 62,822 pengundi.

Menurut Wong, ramai yang tidak tahu mengenai pelbagai insentif yang diperkenalkan kerajaan untuk membantu rakyat, yang mungkin berpunca daripada penyampaian maklumat yang kurang berkesan.

“Ini menyebabkan ramai pengundi di Selangor tak tahu bantuan yang layak mereka terima,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kata Wong lagi, masalah sistem komunikasi dan penyampaian ini juga menyebabkan maklumat projek pembangunan yang sedang dijalankan tidak sampai kepada rakyat.

“Kelemahan ini perlu diperbaiki bagi memastikan usaha kerajaan sampai kepada orang ramai.

“Inilah yang saya sedang fokuskan, iaitu memperkukuhkan penyampaian maklumat,” ujarnya.

Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan di Selangor selepas menang 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sementara Perikatan Nasional (PN) menang 22 kerusi pada PRN baru-baru ini. 

Pada pilihan raya 2018, PH menang besar dengan memperoleh 51 kerusi DUN.

Dalam PRN pada 12 Ogos lalu, Wong menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Ken Liau dan calon Bebas Wong Jung Lik dengan mendapat 39,684 undi. Kedua-dua pencabar Wong hilang deposit masing-masing selepas memperoleh undi kurang satu per lapan daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira dalam PRN.

Sementara itu Adun Rawang selama dua penggal, Chua Wei Kiat dari PKR, berkata keputusan PRN lalu adalah permulaan positif bagi gabungan PH-BN.

Adun Rawang Chua Wei Kiat. – Gambar Facebook, 24 Ogos 2023.

PRN lalu katanya memberi peluang kepada PH dan BN menilai kerjasama antara mereka di peringkat kepimpinan dan akar umbi.

Selepas mandat telah diberikan, tiba masanya untuk bekerja lebih keras dan memberi tumpuan untuk menunaikan janji kepada rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang, lebih-lebih lagi apabila kerajaan negeri selari dengan persekutuan, tambah Chua.

“Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Amirudin Shari dari parti yang sama iaitu PKR.

“Ini akan memupuk kerjasama yang lebih baik, dan saya percaya seterusnya akan lebih meningkatkan ekonomi dan pembangunan negeri,” katanya.

Antara yang harus diberi tumpuan adalah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi. – 24 Ogos 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen