Pengundi kembali sokong jika kos sara hidup ditangani, kata penganalisis


Diyana Ibrahim

Penganalisis politk berpendapat rakyat mudah tertarik dengan sentimen kaum dan agama kerana kos sara hidup terlalu meruncing dan membebankan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2023.

KERAJAAN perpaduan akan dapat memenangi semula hati pengundi sekiranya berjaya menangani isu kos sara hidup, kata pemimpin NGO dan penganalisis politik.

Mereka berpendapat kemenangan besar Perikatan Nasional (PN) di Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam pilihan raya negeri lalu hanya disebabkan sentimen dimainkan gabungan parti itu.

Pemimpin NGO dan penganalisis ini percaya sentimen agama dan kaum yang dimainkan pihak lawan tidak berkesan jika rakyat merasai hasil usaha kerajaan perpaduan menangani kos sara hidup.

Mereka melihat demikian kerana parti kerajaan perpaduan tetap gagal menembusi penguasaan PN di situ walaupun selepas mengumumkan pelbagai peruntukan dan insentif kepada golongan miskin.

Mengulas keadaan itu, Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) berpendapat rakyat mudah tertarik dengan sentimen kaum dan agama kerana kos sara hidup terlalu meruncing dan membebankan.

Presidennya Mohamad Yusrizal Yusoff berkata rakyat yang kesusahan hidup cenderung untuk percaya kepada sentimen dan menolak apa sahaja polisi atau insentif biarpun ia dasar yang baik.

“Sekarang pendapatan kita rendah dan kos sara hidup pula tinggi sehingga pengguna rasa kesukaran untuk hidup kerana perlu menanggung hutang yang tinggi.

“Kerajaan memang perlu tangani kos sara hidup. Itu yang paling utama. Bila kita dah senang dan selesa rakyat tak akan terlalu peduli dengan sentimen politik,” katanya.

Sejurus sebelum pilihan raya itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim antara lain mengumumkan tambahan bantuan pertanian sebanyak RM2 juta kepada golongan tersebut.

Selain itu, Anwar juga memperuntukan bantuan benih padi sebanyak RM8.9 juta dan kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 kepada RM500 bagi setiap tan metrik.

Khusus di Kelantan pula, Anwar mengumumkan bantuan tambahan RM500 juta mengatasi masalah air di negeri itu daripada peruntukan sedia ada sebanyak RM1 bilion sebelum ini.

Pengumuman tersebut tidak diterjemahkan kepada peralihan sokongan apabila Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing hanya menang satu kerusi di Kelantan.

Di Terengganu, parti kerajaan perpaduan juga kalah teruk apabila PAS menang kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan membolehkan parti Islam itu mengekalkan kerajaan negeri.

Di Kedah, kerajaan negeri bertukar semula kepada PN yang merampas negeri itu daripada tangan PH dalam pilihan raya negeri 12 Ogos.

Mengulas prestasi buruk itu, Yusrizal berpendapat momokan sentimen kaum dan agama berjaya mengatasi segala pemberian insentif dan bantuan yang diumumkan perdana menteri.

Selain pengumuman insentif itu juga satu kelemahan kerana pengundi sudahpun sedar bahawa kerajaan sememangnya bertanggungjawab menyalurkan bantuan itu kepada mereka, katanya.

“Sebab Kedah, Kelantan dan Terengganu kebanyakan pengundi Melayu mereka sudah dimainkan dengan sentimen bantuan yang diberikan itu adalah duit kerajaan.

“Mana-mana (parti) yang memerintah itu tanggungjawab mereka beri duit kepada rakyat,” katanya.

Selain itu, pelaksanaan kenaikan kadar skim SSHP kepada pesawah yang cukup baik kepada golongan tersebut tetap bermasalah, katanya.

Jelasnya, ada pihak akan tetap cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga lain seperti baja dan racun yang menyebabkan usaha menurunkan kos sara hidup itu tidak dirasai pesawah.

“Sebab akhirnya situasi akan sama, harga subsidi padi naik tapi barang lain juga turut naik. Tidak ada apa-apa perubahan pun untuk mereka,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Awang Azman Awang Pawi turut berpendapat banyak pengumuman peruntukan dibuat namun impaknya masih belum dirasai oleh rakyat.

Bagi menyelesaikan masalah itu katanya, kerajaan perpaduan perlu menumpu usaha membuka pemikiran masyarakat yang tidak terlalu terdedah dengan politik kepartian politik yang sempit.

“Situasi ini berlaku sebab mereka fikir walau ada bantuan tapi bantuan itu adalah daripada desakan kerajaan negeri atau parti mereka di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Tapi bila mereka secara berterusan diberi pencerahan dan bantuan itu sudah sampai dan mereka rasai sosio ekonomi berubah barulah sentimen itu akan berkurangan,” katanya.

Mengulas lanjut Awang Azman berkata kerajaan seharusnya meneruskan saja dasar yang sedia ada dan perlu terus bersikap moden dan progresif.

Paling penting katanya kerajaan perlu serius untuk melaksana konsep keadilan sosial yang sebenar dan bukan hanya semata-mata dengan pelaksanaan dasar populis semata-mata.

“Apabila mereka dalam keadaan ekonomi yang kurang, sifat mereka adalah protes kerana kehidupan mereka sukar dan rasa tak dapat pembelaan yang baik.

“Cara protes mereka pun pelbagai bentuk. Tidak memilih kerajaan pun salah satu cara protes, tidak bermakna mereka tidak sokong 100% cuma mereka mahu kerajaan beri perhatian kepada mereka.” – 24 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen