MB Selangor nafi data pendaftaran polisi Insan bocor


MB Selangor Amirudin Shari akan meminta pihak pengendali kepada sistem Insan memberikan kenyataan berhubung dakwaan kebocoran data. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2023.

MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari menafikan dakwaan berlaku kebocoran dan salah guna data rakyat negeri itu dalam melaksanakan polisi Skim Insurans Hayat Selangor (Insan) sebagaimana yang tular di media sosial hari ini.

Amirudin menjelaskan data berkenaan ialah data awam yang boleh dibeli, serta menafikan keuntungan daripada pelaksanaan polisi berkenaan digunakan bagi membiayai kempen pilihan raya lepas. 

“Apa yang berlaku, skim ini melaksanakan proses prapendaftaran dengan kita berhubungan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya SPR boleh mengemukakan data. Data itu merupakan data awam yang boleh dibeli dan kita mendaftarkan mereka sebagai prapendaftaran.

“Sebab itu bagi mereka yang mendapat (notifikasi) prapendaftaran ini, mereka boleh terus mengesahkan maklumat berkenaan pendaftaran tersebut dan barulah mereka akan terangkum di bawah sistem polisi Insan,” katanya pada sidang media pasca-Mesyuarat Exco Khas di Shah Alam, hari ini. 

Namun, katanya beliau akan meminta pihak pengendali kepada sistem Insan memberikan kenyataan berhubung perkara itu dan menjelaskan proses prapendaftaran itu dilakukan untuk memudahkan polisi itu dilaksanakan tanpa perlu melakukan pendaftaran satu persatu.

“Kita akan mantapkan kawalan kita terutama jika berlaku pelanggaran terhadap data dan sebagainya, tetapi yang berlaku ini adalah prapendaftaran maknanya kalau tak nak tak perlu ambil polisi ini,” katanya.

Amirudin berkata buat masa ini pihaknya akan mengetatkan kawalan untuk tidak membenarkan semua pihak boleh mengakses kepada prapendaftaran polisi terbabit. – Bernama, 23 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen