Biden akan sertai Sidang Kemuncak G20 di New Delhi pada September


Presiden AS Joe Biden akan berlepas ke India pada September untuk menghadiri sidang kemuncak G20, kata Penasihat Keselamatan Negara Jake Sullivan pada Selasa. – Gambar AFP, 23 Ogos 2023.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden akan berlepas ke India pada September untuk menghadiri sidang kemuncak G20, kata Penasihat Keselamatan Negara Jake Sullivan pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Biden akan ke New Delhi dari 7 hingga 10 September selain dijadual mengadakan pelbagai perbincangan di luar mesyuarat itu.

Antara agenda perbincangan dalam pertemuan dua hala di New Delhi itu merangkumi  isu global seperti usaha menangani perubahan iklim, isu tenaga serta mengurangkan kesan ekonomi dan sosial daripada pencerobohan Rusia terhadap Ukraine.

Sidang kemuncak Ketua Negara dan Kerajaan G20 akan berlangsung di New Delhi pada 9 dan 10 September.

G20 merangkumi Kesatuan Eropah (EU) dan negara ekonomi utama, termasuk AS, China, Rusia dan Jerman.

Biden tidak akan menghadiri sidang kemuncak Asean di Jakarta, Indonesia sebaliknya diwakili Naib Presiden Kamala Harris yang akan ke Jakarta dari 4 hingga 7 September.

Ketika ditanya sama ada ketidakhadiran Biden itu akan mengecewakan rantau berkenaan Sullivan berkata sebelum ini tiada presiden lain yang amat komited terhadap rantau Indo-Pasifik seperti mana yang ditunjukkan oleh Presiden AS itu. – Bernama, 23 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen