PBB bimbang pertempuran baharu di Sudan


Ketua Setiausaha Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Martin Griffiths berkata pertempuran semakin sengit di Darfur Selatan dan Kordofan Selatan di Sudan. – Gambar EPA, 23 Ogos 2023.

KETUA hal ehwal kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa menyuarakan kebimbangnya terhadap pertempuran baharu di Sudan, yang menyekat laluan bantuan ke negara yang dilanda perang itu yang sudah kehabisan makanan.

Martin Griffiths berkata pertempuran semakin sengit di Darfur Selatan dan Kordofan Selatan dan menggesa pihak yang bertelagah supaya menghentikan permusuhan dan membenarkan penghantaran bantuan, lapor Agensi Anadolu.

“Ramai yang terbunuh dan beribu-ribu kehilangan tempat tinggal. Laluan bantuan disekat dan stok makanan habis,” tulis Griffiths di X (Twitter).

Beribu-ribu orang terbunuh dan lebih empat juta kehilangan tempat tinggal sejak perang tercetus antara Angkatan Bersenjata Sudah (SAF) dan kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) pada 15 April, terutama di Khartoum dan Darfur.

Menurut PBB, 19 pekerja bantuan terbunuh sejak pertempuran bermula lebih empat bulan lepas dan berpuluh-puluh gudang serta kemudahan kemanusiaan lain dirompak.

Kedua-dua pihak yang bertelagah menandatangani perjanjian kemanusiaan di Jeddah, Arab Saudi pada Jun yang membolehkan pembukaan koridor kemanusiaan untuk menyampaikan bantuan kepada orang awam.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak sering kali tidak mematuhi gencatan senjata itu. – Bernama, 23 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen