Ambil berat pencegahan, kawalan wabak batuk kokol


JABATAN Kesihatan Negeri Pahang pada Isnin lalu memaklumkan kes wabak pertussis atau batuk kokol di daerah Rompin.

Individu berasal dari Rompin dan Pekan dan kalangan yang ingin ke daerah tersebut disyorkan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan potensi perebakan.

Jangkitan pertussis merupakan jangkitan sistem pernafasan oleh toksin yang dihasilkan bakteria Bordetella pertussis.

Ia ditularkan melalui udara (dari batuk dan bersin) atau kontak langsung cecair nasal (hingus), air liur atau air mata.

Toksin yang dikeluarkan oleh bakteria tersebut merosakkan sel silia pada paru-paru mengakibatkan radang dan kemudiannya menyebabkan rembesan atau bendalir (kahak) gagal dikeluarkan.

Ia seterusnya menyebabkan seseorang individu yang dijangkiti batuk teruk kerana sistem tubuh berusaha mengeluarkan bendalir atau kahak berkenaan.

Batuk teruk yang berterusan menyebabkan gangguan kepada pernafasan sehingga boleh membawa maut.

Bakteria ini secara umum boleh menjangkiti semua kumpulan umur termasuk dewasa dan warga emas.

Namun kesan ketara berlaku di kalangan kanak-kanak yang mana impak teruk berlaku terutamanya di kalangan bayi yang berusia kurang setahun.

Dalam kumpulan lebih dewasa, gejala adalah ringan dan tidak begitu ketara sehinggakan ramai di kalangan individu yang dijangkiti tidak menyedarinya.

Bagi individu yang pernah dijangkiti atau menerima vaksin, tempoh perlindungan bertahan selama empat hingga 20 tahun.

Justeru, sebahagian dari individu dewasa berkenaan yang mengalami penurunan antibodi turut berpotensi menjadi punca jangkitan di kalangan kanak-kanak yang rentan.

Gejala klinikal pertussis tidak berlaku serta merta. Ia kebiasaannya berlaku selepas satu atau dua minggu selepas individu terdedah kepada punca jangkitan.

Pada peringkat awal gejala, gejala yang ditunjukkan sama seperti demam selsema. Namun berbeza dengan demam selsema, didapati terdapat gejala masalah sukar bernafas terutama bayi dan kanak-kanak berusia kurang lima tahun.

Tanpa rawatan awal, gejala berlarutan sebagai batuk berterusan dalam sela episod yang pantas, teruk serta sukar diberhentikan.

Dalam perubatan ia disebut paroxysmal coughs, yang mana pada hujung episod batuk kedengaran bunyi ‘whoop’.

Ia diikuti kegagalan individu untuk menarik nafas seperti biasa, mengalami muntah teruk dan akhirnya terhenti seketika untuk bernafas (apnea).

Di kalangan bayi yang berusia kurang setahun pula, gejala mereka lebih menjurus manifestasi sukar bernafas, kulit berubah menjadi biru (akibat kurang oksigen) dan tidak bermaya.

Rawatan segera ke hospital membolehkan pertussis dirawat menggunakan antibiotik serta rawatan sokongan yang lain.

Namun demikian, keberkesanan antibiotik dibatasi oleh sejauh mana segera tempoh masa pesakit mendapat rawatan.

Ini kerana, meskipun bakteria berkenaan berjaya ditangani melalui pengambilan antibiotik, namun kesan toksin bakteria yang dihasilkan merosakkan sel sistem pernafasan menyebabkan gejala teruk akan berterusan berlaku.

Antara komplikasi serius ialah nafas terhenti tiba-tiba (apnea) [68%], radang paru-paru [22%], sawan [2%], radang otak (ensefalopati)[0.6%] dan kematian [1%].

Jangkitan pertussis yang dibuktikan berjaya ditangani dengan baik melalui pemberian vaksin.

Data sebelum ini menunjukkan bagaimana kes pertussis berjaya diturunkan pada hujung tahun 90-an.

Ia kembali melonjak mencatatkan sejumlah kes yang agak ketara sehingga memerlukan dapatan kajian untuk mengkaji ciri-ciri mereka yang dijangkiti jangkitan berkenaan.

Antara faktor berkenaan ialah keengganan membawa anak ke klinik untuk divaksin.

Pemberian vaksin sepertimana yang dijadualkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan memasukkan jadual vaksin pertussis seawal bayi berusia dua bulan.

Vaksin untuk pertussis diberi bersama vaksin untuk lima penyakit yang lain iaitu tuberkulosis, difteria, tetanus, Hib (Haemophilus influenza b) dan hepatitis B.

Jelas di sini usaha pencegahan penyakit dilakukan bersungguh-sungguh oleh petugas kesihatan dan KKM bagi memastikan kesihatan anak-anak tidak terjejas.

Penurunan antibodi di kalangan dewasa serta ketiadaan perlindungan vaksin di kalangan kanak-kanak merupakan dua faktor utama yang didokumentasikan punca pertussis
merebak dalam komuniti.

Dalam masa yang sama, andai wabak gagal dikekang dengan baik, kita turut berdepan ancaman kemungkinan perebakan di kalangan komuniti warga asing yang tidak berdaftar secara sah kerana sebahagian besar anak-anak mereka turut tidak menerima perlindungan vaksin.

Pencegahan dan kawalan dalam situasi wabak seperti yang disyorkan dari Jabatan Kesihatan perlu diambil berat oleh semua individu dalam masyarakat.

Ini termasuklah untuk isolasi kes-kes yang disahkan, pemisahan dengan kanak-kanak yang masih sihat dan
kanak-kanak berusia kurang tujuh tahun yang masih belum lengkap divaksin perlu dipatuhi.

Tempoh isolasi dan kuarantin ini bergantung kepada status pemberian antibiotik yang mana ia mengambil tempoh maksima sehingga 21 hari.

Justeru, bagi mengelakkan situasi menjadi lebih rumit, wajar di kalangan warga tempatan yang masih belum mendapatkan vaksin untuk anak-anak mereka tampil ke hadapan untuk divaksin. – 23 Ogos, 2023.

* Dr Malina Osman pensyarah Jabatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen