Jangan pandang enteng keamanan dan kestabilan dikecapi negara, kata menteri


Mohamad berkata kolaborasi antara rakyat dan ATM mencerminkan pendekatan keseluruhan negara bagi memperkukuh pertahanan Malaysia. – Gambar Facebook, 22 Ogos, 2023.

ORANG orang ramai dan anggota tentera daripada pelbagai lapisan masyarakat diseru untuk memainkan peranan penting dalam menjaga keamanan serta mempertahankan kedaulatan negara

MenteriPertahanan Mohamad Hasan juga menyeru agar kita tidak memandang enteng keamanan dan kestabilan yang dikecapi kerana Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang masih muda.

Katanya, semangat dan kerjasama sedia ada dalam kalangan rakyat merupakan benteng kukuh yang akan terus memelihara Malaysia daripada sebarang ancaman.

Tambahnya, komitmen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan kedaulatan dan wilayah negara tidak boleh disangkal namun usaha ini bukan bergantung kepada pasukan keselamatan semata-mata malah menuntut tanggungjawab semua pihak.

Mohamad berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kementerian Pertahanan 2023 di Dataran Wisma Pertahanan di Kuala Lumpur, hari ini.

“Pertahanan adalah tanggungjawab bersama yang menuntut penglibatan keseluruhan masyarakat. Penglibatan rakyat adalah penting bagi mencapai Pertahanan Komprehensif dan mendukung iltizam Kertas Putih Pertahanan,” katanya.

Mohamad berkata kolaborasi antara rakyat dan ATM mencerminkan pendekatan keseluruhan negara bagi memperkukuh pertahanan Malaysia, sejajar tema  Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ yang menyeru semua pihak untuk terus bersatu bagi menghadapi cabaran masa depan.

“Tema ini melambangkan semangat kebersamaan dalam membangun negara yang lebih teguh, makmur dan aman. Dalam konteks pertahanan negara, tema ini menekankan prinsip yang amat penting (iaitu perpaduan).

“Perpaduan merupakan salah satu nilai teras pertahanan dan keselamatan negara, yang perlu dipelihara, dikekalkan dan diperkukuhkan, bagi menjamin kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat, aman dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata di Kementerian Pertahanan pula pihaknya sentiasa komited dalam memastikan ATM dilengkapi dengan peralatan dan teknologi terkini serta diperkasakan melalui latihan yang cekap, agar dapat menghadapi sebarang ancaman dengan berkesan.

“Namun, saya yakin kekuatan pertahanan kita, bergantung bukan sahaja pada sumber dan aset-aset sedia ada, tetapi juga kepada kesungguhan dan tekad seluruh warga negara, untuk memastikan Malaysia terus kekal aman dan stabil,” katanya.

Mohamad berkata dalam senario kepelbagaian etnik di Malaysia, umum mengetahui kepelbagaian kisah kejayaan yang menceriakan dengan setiap etnik dan budaya membawa sumbangan yang unik kepada pembangunan negara.

Katanya, semangat perpaduan rakyat negara ini membentuk masyarakat yang inklusif yang mana setiap warganegaranya merasai kepentingan diri masing-masing dalam membentuk masa depan yang lebih baik.

“Kita mesti sentiasa mendengar suara rakyat, serta memberi peluang kepada kerajaan untuk mentadbir dengan berkesan dan bertanggungjawab. Yang paling penting, kita mesti terus menjunjung nilai dan prinsip yang termaktub dalam Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia,” katanya.

Hari ini, Mohamad menyempurnakan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pertahanan 2023 di Dataran Wisma Pertahanan yang disertai seramai 500 orang warga Kementerian Pertahanan termasuk kakitangan awam dan ATM.

Acara simbolik penyerahan Jalur Gemilang juga turut disempurnakan oleh Mohamad kepada Pemangku Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Shahrazat Ahmad mewakili Kementerian Pertahanan dan Panglima Tentera Laut Abdul Rahman Ayob yang mewakili seluruh warga ATM.

Pelbagai aktiviti dilaksanakan antaranya pameran reruai oleh Bahagian dan Perkhidmatan ATM yang berkonsepkan Monumen Arca Menara Jam Sultan Abdul Samad yang berlatarbelakangkan panorama bangunan ikonik Kuala Lumpur. – Bernama, 22 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen