Perkhidmatan rahsia AS tahan wanita ancam bunuh Trump, anak


Minggu lalu, seorang wanita Kanada dijatuhi hukuman penjara hampir 22 tahun kerana menghantar surat ancaman mengandungi bahan toksik kepada Donald Trump pada 2020. – Gambar EPA, 22 Ogos, 2023.

SEORANG wanita Chicago ditahan kerana disyaki menghantar e-mel ke sebuah sekolah di Florida di mana beliau mengancam untuk menembak bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan anak lelakinya, Barron, 17 tahun, Sputnik memetik laporan media .

Perkhidmatan rahsia AS pada Isnin menahan Tracy Fiorenza, 41, yang didakwa menghantar e-mel dengan ancaman terhadap Trump dan anaknya ke sebuah sekolah di Palm Beach, yang juga lokasi kediaman bekas presiden itu, lapor CBS News.

Suspek didakwa menghantar e-mel kepada guru besar sekolah itu pada Mei, mengatakan beliau “akan menembak” bekas presiden dan anaknya “langsung di muka pada sebarang peluang”, tambahnya.

Beberapa hari kemudian, Fiorenza sekali lagi menghantar e-mel kepada pegawai sekolah dengan ancaman, kata laporan itu, sambil menambah ejen perkhidmatan rahsia menemu bualnya pada Jun apabila beliau mengakui menulis e-mel berkenaan. 

Perbicaraan tahanan terhadap kes itu dijadualkan pada Rabu.

Minggu lalu, seorang wanita Kanada dijatuhi hukuman penjara hampir 22 tahun kerana menghantar surat ancaman mengandungi bahan toksik kepada Trump pada 2020. – Bernama, 22 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen