Parlimen Amerika Tengah pecat Taiwan sebagai negara pemerhati


Ahli Parlimen berkata status pemerhati yang dimiliki Taiwan dalam organisasi itu tidak sah kerana Taiwan tidak mempunyai status undang-undang dan dianggap oleh PBB sebagai wilayah China. – Gambar EPA, 22 Ogos, 2023.

AHLI-AHLI Parlimen di Parlimen Amerika Tengah (Parlacen) mengundi untuk memecat Taiwan sebagai pemerhati tetap dalam organisasi itu dan menghulurkan jemputan kepada China untuk mengambil alih peranan itu, kata Parlimen tersebut, lapor Sputnik.

“Plenum Parlimen Amerika Tengah meluluskan secara majoriti undian kemasukan Republik Rakyat China dalam Parlacen sebagai negara pemerhati atas permintaan kaukus Parlimen Nicaragua,” tulis Parlacen di media sosial pada Isnin.

Ahli Parlimen berkata status pemerhati yang dimiliki Taiwan dalam organisasi itu tidak sah kerana Taiwan tidak mempunyai status undang-undang dan dianggap oleh PBB sebagai wilayah China.

Oleh kerana pulau itu bukan subjek undang-undang antarabangsa dan tidak mempunyai kapasiti untuk membuat perjanjian, ia telah diusir, kata Parlimen tersebut.

Parlacen diwujudkan pada 1991 dengan tujuan untuk mengukuhkan integrasi serantau di Amerika Tengah.

Republik Dominika, Guatemala, Honduras, Nicaragua, Panama dan Salvador adalah negara anggota Parlimen itu.

Guatemala adalah satu-satunya negara anggota yang mengiktiraf Taiwan sebagai negara merdeka dan mengekalkan hubungan diplomatik dengan pulau itu, ketika negara lain melihat Taiwan sebagai salah satu wilayah China. – Bernama, 22 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen