Makmal Singapura gagal periksa data nahas pesawat, kata Loke


Kalidevi Mogan Kumarappa

Beberapa pakar penerbangan dari Amerika Syarikat berada di lokasi nahas pesawat Beechcraft Premier 1 di Bandar Elmina, Shah Alam semalam bagi menjalankan siasatan punca nahas. – Gambar AFP, 22 Ogos 2023.

KOTAK perakam suara kokpit (CVR) daripada pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas pada minggu lalu akan dihantar ke syarikat pengeluarnya di Amerika Syarikat, kata Anthony Loke.

Menteri pengangkutan itu berkata, keputusan itu dibuat selepas makmal di Singapura gagal mendapatkan semula data di dalam kad memori itu.

“Berdasarkan perkembangan daripada Ketua Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) kita yang berada di Singapura makmal di negara jiran itu juga gagal mendapatkan semula data berkenaan.

“Jadi, mereka akan kembali ke Malaysia hari ini, memberi taklimat kepada saya sebelum berlepas ke Florida sama ada hari ini atau esok,” kata Loke kepada pemberita pagi ini.

Menurutnya, makmal Technical Transport Singapore Bureau di Singapura tidak dapat mengeluarkan rakaman suara itu berikutan terdapat isu teknikal.

“Tindakan susulan kita setakat ini adalah menghantar memory puck itu ke Florida untuk ia cuba dianalisis.

“Meskipun pasukan kita bersama Singapura sudah membuat panggilan teleconference bersama wakil pengeluarnya di Florida namun masalah teknikal itu tidak dapat diatasi.

“Jadi tindakan terbaik adalah hantar ke pengeluarnya. Kita perlu mendapat jawapan mengenai punca kejadian itu dengan segera,” katanya.

Beliau berkata, kerosakan teruk dikesan di peranti data yang diperoleh daripada CVR di lokasi nahas di Bandar Elmina itu dihantar ke makmal pada Jumaat lalu.

“Apabila ia sampai ke makmal, BSKU mendapati kotak tersebut telah pun rosak teruk di luarnya dan kita tidak mempunyai peralatan yang mencukupi untuk mendapatkan data itu semula.

“Proses untuk membeli peralatan itu juga akan mengambil masa dan disebabkan itu kami menghantarnya ke Singapura,” katanya.

Seramai 10 lelaki disahkan maut selepas jet eksekutif itu terhempas di Persiaran Bandar Elmina pada Khamis lalu berdekatan Lebuhraya Guthrie dekat Shah Alam.

Pesawat yang berlepas dari Langkawi itu mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada pukul 2.50 petang dan terhempas dua minit kemudian.

Lapan yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat manakala dua lagi adalah seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas.

Antara penumpang yang maut Adun Pelangai Johari Harun. – Bernama, 22 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen