2 pemancing ditemukan lemas 


DUA pemancing yang dilaporkan hilang di perairan Pantai Kiamsam, Ahad lepas ditemukan lemas oleh nelayan tempatan petang semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan memaklumkan mayat Yassin Jhonal, 20, ditemukan pada 5.28 petang manakala mayat Mohd Shah Nadzmin, 19, kira-kira lima minit kemudian.

“Mayat ditemukan di kedudukan 500 meter dari Pantai Kiamsam, lokasi kedua-dua pemuda itu berlepas menaiki bot untuk keluar memancing,” katanya.

Menurut jurucakap itu mayat kemudian dihantar ke Hospital Labuan untuk bedah siasat.

Semalam dilaporkan Yassin dan Mohd Shah hilang selepas bot dinaiki mereka untuk memancing ditemukan terapung berdekatan jeti Kiamsam pada awal pagi.

Anggota keluarga dan rakan mangsa membuat laporan polis pada 10.18 pagi semalam dan operasi mencari dan menyelamat digerakkan oleh pasukan bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta Pasukan Polis Marin.

Selain itu, pencarian turut dibantu komuniti nelayan tempatan. – Bernama, 22 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen