Pheu Thai umum gabungan baharu termasuk parti protentera bentuk kerajaan


Gabungan 11 parti itu akan menyokong usahawan hartanah Srettha Thavisin dari Pheu Thai untuk menjadi perdana menteri baharu Thailand dalam undian Parlimen hari ini. – Gambar EPA, 22 Ogos 2023.

PARTI Pheu Thai semalam mengumumkan gabungan 11 parti termasuk dua pesaingnya yang mempunyai kaitan tentera, menjelang undian dwidewan untuk memilih perdana menteri baharu.

Gabungan pimpinan Pheu Thai itu mempunyai 314 kerusi di Dewan Perwakilan yang dianggotai 500 orang, sedang membuat satu lagi percubaan untuk membentuk kerajaan seterusnya menamatkan kebuntuan politik selepas pilihan raya umum (PRU) 14 Mei.

Pakatan itu akan menyokong usahawan hartanah Srettha Thavisin dari Pheu Thai untuk menjadi perdana menteri seterusnya dalam undian Parlimen hari ini.

Bagaimanapun, Srettha memerlukan sokongan daripada senator kerana calon perdana menteri memerlukan 476 undi daripada 750 anggota Parlimen dwidewan untuk terpilih dan membentuk kerajaan.

Parti Pheu Thai, yang menduduki tempat kedua dalam PRU 14 Mei dengan 141 kerusi, mempunyai sekutu berikut, termasuk bekas pesaingnya: Parti Bhumjaithai (71 kerusi), Parti Palang Pracharath (PPRP), dan Parti United Thai Nation (UTN).

Parti lain dalam gabungan pimpinan Pheu Thai termasuk Parti Chart Pattana Kla dengan 10 kerusi; Parti Prachachat (9); Parti Chart Pattana Kla (2); Parti Pue Thai Rumphlang (2); Parti Liberal Thai, Parti Plung Sungkom Mai, dan Parti Thai Countries (masing-masing mempunyai satu kerusi).

Pemimpin Pheu Thai Cholnan Srikaew turut mengumumkan jumlah kerusi Kabinet bagi setiap parti gabungan.

Beliau berkata Pheu Thai akan diperuntukkan sembilan kerusi Kabinet, termasuk perdana menteri, Parti Bhumjaithai (lapan kerusi Kabinet), PPRP dan UTN masing-masing mendapat empat kerusi kabinet manakala Parti Chart Pattana Kla dan Prachachat masing-masing mendapat satu kerusi.

“Kesemua parti gabungan telah bersetuju untuk membentuk gabungan dengan dua syarat: tiada pindaan Artikel 112 dan pengecualian Parti Move Forward yang memenangi pilihan raya.

“Gabungan itu akan mendesak perlembagaan yang lebih demokratik, kenaikan gaji minimum secara berperingkat kepada 600 baht, ganja perubatan, perkhidmatan tentera sukarela, penyelesaian konflik dan keamanan mampan di wilayah sempadan di selatan,” katanya pada sidang media semalam.

Tinjauan oleh Institut Pentadbiran Pembangunan Kebangsaan menunjukkan 64% daripada 1,310 responden tidak bersetuju dengan langkah Pheu Thai untuk membentuk kerajaan campuran yang merangkumi parti protentera.

Cholnan mengulangi bahawa gabungan pimpinan Pheu Thai dengan parti-parti yang mempunyai kaitan dengan tentera untuk berusaha memulihkan ekonomi negara dan memastikan kestabilan politik.

“Semua pihak akan bekerjasama secara berkesan dengan Pheu Thai demi kepentingan terbaik rakyat untuk membangunkan kemajuan untuk negara dan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Paetongtarn Shinawatra, seorang daripada tiga calon perdana menteri Pheu Thai, memohon maaf kerana parti tersebut gagal menunaikan janji pilihan raya untuk tidak bergabung dengan parti-parti protentera.

“Kami telah melakukan yang terbaik untuk membentuk kerajaan, tetapi ia tidak berjalan seperti yang dirancang. Kami perlu membuat beberapa penyesuaian untuk memastikan negara bergerak ke hadapan.

“Kami faham bahawa kami perlu membayar harga untuk ini, iaitu kritikan daripada rakyat. Kami dengan rendah hati menerima dan memohon maaf atas kekecewaan dan kesedihan rakyat,” katanya.

Parti Move Forward (MFP), memenangi 151 kerusi dan menjadikannya pemenang terbesar dalam pilihan raya umum telah gagal dalam usahanya membentuk kerajaan berikutan rancangannya rancangannya untuk meminda undang-undang yang menjadikan penghinaan kepada raja sebagai jenayah, terutamanya Perkara 112 kanun jenayah atau lese-majeste.

Awal bulan ini, Pheu Thai telah meninggalkan MFP dan membentuk gabungan baharu.

MFP telah mengumumkan bahawa ia tidak akan menyokong atau mengundi calon perdana menteri Pheu Thai dengan menyatakan ia bertentangan dengan kehendak rakyat. – Bernama, 22 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen