Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar AS


Ringgit kekal tersekat pada kira-kira RM4.65 bagi setiap dolar AS kerana langkah rangsangan terbaharu China gagal mencetuskan impak positif, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2023.

RINGGIT ditutup tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin dengan mata wang tempatan menjejaki kelemahan yuan memandangkan langkah rangsangan terkini China gagal menepati harapan, kata penganalisis.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan kekal tidak berubah pada 4.6465/6510 berbanding dolar AS daripada angka penutupan pada Jumaat lalu.

Ketua ahli ekonomi dan kewangan sosial, Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit kekal tersekat pada kira-kira RM4.65 bagi setiap dolar AS kerana langkah rangsangan terbaharu China gagal mencetuskan impak positif.

“Kadar utama pinjaman (LPR) setahun dikurangkan sebanyak 10 mata asas kepada 3.40%, yang lebih kecil berbanding pengurangan 15 mata asas seperti yang dijangkakan oleh pasaran manakala LPR lima tahun tanpa dijangka dikekalkan pada 4.20%.

“Oleh itu, renminbi China (juga dikenali sebagai yuan) lemah berbanding dolar AS sebanyak 0.29% kepada 7.3059 yuan,” katanya.

Beliau berkata China kelihatan agak kurang yakin untuk bertindak balas terhadap ancaman pertumbuhan lembap.

“Oleh itu, ini akan mewujudkan situasi pelabur enggan ambil risiko buat masa ini yang diterjemahkan kepada ringgit yang lebih lemah,” katanya.

Ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit domestik meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1869/1902 daripada 3.1926/1959 ketika ditutup pada Jumaat lalu serta susut berbanding euro kepada 5.0647/0696 daripada 5.0503/0552.

Mata wang tempatan juga turun berbanding dengan pound British kepada 5.9196/9254 daripada 5.9131/9189 sebelumnya.

Ringgit juga bercampur-campur berbanding mata wang negara Asean.

Mata wang Malaysia meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.24/8.26 daripada 8.27/8.28 pada Jumaat lalu dan lebih stabil berbanding rupiah Indonesia kepada 303.1/303.6 daripada 303.9/304.2.

Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.4241/4279 daripada 3.4228/4264 dan susut berbanding baht Thailand kepada 13.2070/2258 daripada 13.1331/1510. – Bernama, 21 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen