OPERASI membawa keluar bangkai dan serpihan pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam selesai hari ini.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata lokasi nahas akan dikosongkan malam ini.
Ketika dihubungi, beliau berkata semua kawalan polis di lokasi nahas juga akan dihentikan.
Sementara itu, tinjauan mendapati lori yang membawa serpihan dan bangkai pesawat meninggalkan lokasi nahas pada kira-kira jam 7 malam.
Keadaan cuaca yang mendung dan kadangkala hujan tidak menghalang proses membawa keluar bangkai pesawat itu.
Selain itu, jalan yang terbabit dengan nahas akan dibersihkan namun laluan masih ditutup dan polis juga membuka garisan kuning yang dipasang di lokasi.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan memaklumkan laporan awal siasatan nahas pesawat yang mengorbankan 10 individu itu akan disediakan dalam tempoh 30 hari dari tarikh ia berlaku.
Siasatan teknikal berdasarkan Lampiran 13 – Kemalangan Pesawat dan Siasatan Insiden, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), sudah dimulakan oleh pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara dari tarikh kejadian itu.
Nahas yang berlaku pada Khamis lalu mengorbankan 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Johari Harun.
Mangsa yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu manakala dua lagi orang awam, masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta e-hailing yang melalui kawasan berkenaan ketika kejadian.
Ketika insiden, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan mendapat kebenaran untuk mendarat pada jam 2.48 petang. – Bernama, 21 Ogos, 2023.
Komen