Anwar perlu cari jalan raih semula undi Melayu, kata penganalisis


Angie Tan

Penganalisis politik berkata orang Melayu terjebak dengan naratif Perikatan Nasional yang mengeksploitasi isu 3R dan tidak percaya kerajaan perpaduan pimpinan Anwar menjaga kepentingan orang Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim perlu menangani kekurangan keyakinan terhadap kerajaan perpaduan jika ia berharap untuk meraih semula sokongan Melayu, kata penganalisis politik.

Pakar politik Islamik, Chin Chong Foh berkata analisis daripada keputusan pilihan raya di Selangor memperlihatkan majoriti Melayu yang menyokong DAP dan Umno sebelum ini semakin menyusut.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini, Pakatan Harapan (PH) mengekalkan Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor tetapi kalah penguasaan majoriti dua pertiganya di negeri terkaya itu.

Perikatan Nasional (PN) pula tidak dicabar mengekalkan Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Ada kurang kepercayaan dengan kerajaan perpaduan,” kata Chin dan menyatakan ia satu cabaran besar buat Anwar.

Beliau berkata, ada dua alasan bagi kalangan Melayu hilang keyakinan terhadap Anwar.

Pertama kata Chin, orang Melayu terjebak dengan naratif PN yang mengeksploitasi isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) dan tidak percaya kerajaan perpaduan pimpinan Anwar menjaga kepentingan orang Islam.

Kedua katanya, keputusan Anwar untuk membanteras rasuah kelihatan bersifat hipokrit kerana beliau sendiri bekerjasama dengan orang yang terbabit dalam kes rasuah di mahkamah - contoh paling ketara presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang dilantik sebagai timbalan perdana menteri dalam Kabinet pimpinannya.

Chin berkata, dua alasan itu menjurus kepada perasaan tidak puas hati masyarakat Melayu terhadap PH dan Anwar.

Beliau berkata, Anwar perlu menangani kekurangan kepercayaan itu.

“Sekalipun PH mengekalkan kuasa di tiga negeri, mereka jelas hilang banyak sokongan pengundi Melayu.”

Penganalisis politik Tang Ah Chai berkata, kaum Melayu paling terjejas dengan kemerosotan ekonomi disebabkan pandemik Covid-19 berbanding kaum lain di negara ini.

Itulah sebabnya Anwar perlu menangani masalah yang membelenggu ekonomi negara jika gabungan pemerintah itu mahu meraih semula sokongan orang Melayu dan mengatasi PN sebelum pilihan raya umum akan datang.

Mereka berkata, ada beberapa alasan yang mengalih sokongan pengundi Melayu terhadap pembangkang dalam PRN baru-baru ini namun memperbaiki keadaan ekonomi dan kos sara hidup rakyat patut menjadi keutamaan.

Beliau berkata, jika Anwar boleh memulihkan sedikit ekonomi serta mengurangkan kesempitan kewangan rakyat, ia boleh mengatasi eksploitasi PN mengenai isu 3R untuk meraih sokongan.

“Orang tidak boleh hidup dengan alasan bangsa dan agama sahaja,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata, kegagalan untuk menangani masalah ekonomi yang dihadapi golongan rakyat biasa, perkara rutin seharian seperti memastikan bekalan telur atau ayam mencukupi, tidak akan memberi peluang kepada pembangkang untuk menuduh kerajaan perpaduan gagal.

Eksploitasi isu kaum dan agama mungkin membantu undian terhadap PAS dan Bersatu pada PRN tetapi Tang memberi amaran kepada gabungan pemerintah supaya tidak mengikut cara sama dan bermain api.

Katanya, ia bukanlah jawapan sebenar kepada masalah itu.

“Kerajaan perpaduan diketuai PH tidak patut mengikut cara diambil PN dengan menggunakan isu kaum dan agama.

“Perbaiki ekonomi, amalkan pendekatan politik sederhana, terus berjuang membanteras rasuah dan salah guna kuasa.”

Dengan mendakwa perasuah ke mahkamah, Tang percaya ia boleh menjadi satu lagi pendekatan baik untuk melawan PN dengan isu kaum dan agama mereka.

Lau Zhe Wei, penolong profesor di Jabatan Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa, bersetuju dengan pandangan Tang bahawa Anwar harus menumpukan kepada ekonomi daripada menggunakan kaum dan agama untuk memerangi PN.

“Masalah dihadapi Anwar hari ini adalah kebanyakan orang Melayu berasakan beliau mementingkan diri sendiri dan kelompoknya serta tidak mahu menerima pendapat umum,” kata Lau.

“Perdana menteri mungkin mendakwa ekonomi bertambah baik tetapi majoriti orang Melayu berasakan ia sebaliknya kerana harga makanan masih tinggi, pekerjaan berkurangan dan kejatuhan nilai ringgit terus menyebabkan makanan, barangan dan perkhidmatan import mahal.” – 22 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen