Hadi tak datang mengundi usul persempadanan semula kerana ada mesyuarat 'penting', kata PAS


Kamles Kumar

Presiden PAS Hadi Awang tidak datang ketika proses pengundian usul persempadanan semula di Dewan Rakyat semalam kerana ada mesyuarat penting, walaupun beliau hadir di sebelah pagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2018.

SEMUA ahli Parlimen daripada PAS mengundi menentang laporan persempadanan semula semalam kecuali Presiden Abdul Hadi Awang dan Ketua Penerangan Nasruddin Hassan Tantawi

Ahli Parlimen DAP Anthony Loke berkata semua 11 ahli Parlimen PAS yang berada di Dewan Rakyat semalam ketika pengundian dijalankan adalah sebahagian daripada 80 wakil rakyat pembangkang yang tidak menyokong usul itu.

“PAS mengundi menentang usul itu kecuali Hadi, dia tak datang pun,” kata Loke kepada wartawan ketika ditemui di Parlimen.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata Hadi yang merupakan ahli Parlimen Marang tidak dapat hadir kerana ada mesyuarat penting.

“Marang (Hadi datang pada waktu pagi tetapi) ada mesyuarat penting dan Temerloh (Tantawi) cuti sakit,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu mesej pesanan ringkas.

BN menggunakan majoriti dimiliki mereka untuk meluluskan laporan persempadanan semula itu melalui undi blok sekitar jam 5.15 petang semalam, dengan 129 wakil rakyat menyokong berbanding 80 menentang.

PAS menang 21 kerusi pada PRU2013 tetapi tujuh daripada mereka memasuki parti serpihan, Amanah dan seorang memasuki PKR.

The Malaysian Insight sudah menghubungi Hadi dan sedang menunggu ulasannya mengenai perkara ini. – 29 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Hadi sengaja elak daripada mengundi kerana tidak mahu dilihat sebagai penyokong pembangkang. Tampa dia pun pun dia tahu Penyangak MO1 masih boleh menang, Jadi lebih baik dia pilih tidak datang mengundi untuk ambit hati Penyangak MO1.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Nordin KCD · Ulasan