2 lelaki ditemukan lemas ketika memancing 


DUA lelaki ditemukan lemas ketika memancing di Sungai Simen, Jalan Rantau Ladang Kombok di Seremban, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Pegawai Bomba Kanan (PBK) 1 Mohd Syazwan Saidy berkata mangsa dikenali sebagai  A. Vijay, 16, yang beralamat di Ladang Kombok dan kenalannya G. Chantiran, 60, beralamat di Taman Bukit Merbok Ria, Rasah.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.07 malam sebelum 10 anggota dari balai Rantau dengan 10 anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dikejarkan ke lokasi. 

“Mayat remaja berkenaan ditemukan abangnya berusia lingkungan 20-an pada 7.15 malam, dia sebelum itu mencari mangsa di kawasan sungai tersebut selepas dia tidak pulang ke rumah sejak petang.

“Abangnya mendapati hanya keperluan peribadi kedua-dua mangsa sahaja berada berhampiran sungai itu. Dia cuba menghubungi adiknya dan terdengar deringan telefon di tebing sungai sebelum secara tiba-tiba ternampak jala di permukaan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Syazwan berkata abang mangsa kemudian menarik jala tersebut dan mendapati Vijay dalam keadaan terbelit namun adiknya itu sudah tidak bernyawa.

Beliau berkata mayat warga emas itu pula ditemukan oleh PPDA di dasar sungai kira-kira 11 malam iaitu dengan jarak 10 meter dari tebing.

Beliau berkata anak mangsa C. Sivam, 36, sebelum itu turut mencari ayahnya di lokasi tersebut namun tidak menemukan mangsa.

Katanya, mayat kedua-dua lelaki itu kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk tujuan bedah siasat. – Bernama, 21 Ogos, 2023.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen