Putrajaya diminta pastikan pelajar cemerlang dapat tempat di universiti


Noel Achariam

Ketua perunding dasar awam dan kluster kemakmuran ekonomi Ikram, Mohammad Abdul Hamid berkata tumpuan harus diberikan kepada pendidikan inklusif yang mana pelaksanaan adalah penting. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2023.

KERAJAAN perlu meneruskan peranannya dalam memastikan semua pelajar yang cemerlang mendapat tempat di institusi pengajian tinggi, kata ibu bapa dan pendidik.

Mereka berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi mesti melihat pendekatan yang lebih inklusif dengan setiap pelajar yang layak diberi tempat untuk melanjutkan pelajaran.

Ketua perunding dasar awam dan kluster kemakmuran ekonomi Ikram, Mohammad Abdul Hamid berkata tumpuan harus diberikan kepada pendidikan inklusif yang mana pelaksanaan adalah penting.

“Perbincangan seharusnya mengenai pemberian akses kepada pendidikan kepada semua, dengan tumpuan untuk menangani kemiskinan dan ketidaksamaan pendapatan.

“Ada juga keperluan untuk melihat peruntukan belanjawan memandangkan ruang fiskal yang sempit dihadapi kerajaan.

“Oleh itu, wacana tidak semestinya berasaskan kaum berbanding keperluan,” katanya.

Mohamad merujuk cadangan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini untuk berhijrah daripada sistem pendidikan berasaskan kaum kepada berasaskan keperluan.

Syed Saddiq berkata, terdapat banyak kes pelajar semua-A yang gagal mendapat tempat dalam program matrikulasi awam, tetapi mendapat tempat di universiti terkemuka dunia dengan perbelanjaan sendiri.

Terdapat pilihan bagi kerajaan untuk menyokong pelajar namun geran dan bantuan kewangan untuk pelajar yang layak tidak seharusnya disediakan kerajaan semata-mata. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2023.

Mohammad juga berkata, terdapat keperluan untuk menangani pengangguran dalam kalangan graduan baharu.

“Ketidakpadanan siswazah baharu adalah kebimbangan berterusan berikutan isu struktur dalam ekonomi, jadi terdapat keperluan untuk melihat dan menangani isu itu secara holistik,” katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa pilihan bagi kerajaan untuk menyokong pelajar ini, sambil menambah geran dan bantuan kewangan untuk pelajar yang layak tidak seharusnya disediakan kerajaan semata-mata.

Ketua Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan Noor Azimah Abdul Rahim berkata, pelajar yang layak perlu diberi tempat jika kerajaan berpendapat mereka berpotensi untuk menyumbang.

“Kemudian negara akan mendapat manfaat di kemudian hari. Kriteria yang sama akan dikenakan kepada firma swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang sanggup menaja pelajar yang layak.

“Kerajaan juga boleh membantu pelajar yang layak bergantung kepada ketersediaan dana. Oleh itu syarikat dan GLC memainkan peranan mereka untuk memilih pelajar yang layak dan mengikat mereka untuk pekerjaan,” katanya.

Azimah bagaimanapun tidak percaya akan berlaku penghijrahan pelajar pandai ke luar negara sekiranya mereka tidak ditawarkan tempat di institusi awam.

“Bukan bermakna pelajar yang pergi ke luar negara tidak akan balik. Ramai pelajar yang pulang selepas belajar di luar negara.” – 21 Ogos, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen