Napoli, Inter mulakan musim Serie A dengan bergaya


Napoli memulakan kempen mempertahankan kejuaraan mereka pada Sabtu apabila memulakan musim Serie A 2023-24 dengan kemenangan 3-1 ke atas Frosinone. – Gambar AFP, 20 Ogos, 2023.

NAPOLI memulakan kempen mempertahankan kejuaraan mereka pada Sabtu apabila memulakan musim Serie A 2023-24 dengan kemenangan 3-1 ke atas Frosinone, manakala Inter juga meraih kemenangan aksi pembukaan selepas mengalahkan Monza 2-0, lapor Xinhua.

Skuad dengan jolokan Partenopei yang meraih gelaran Serie A pertama mereka dalam tempoh 33 tahun musim lalu ketinggalan ketika aksi baru memasuki tujuh minit permainan apabila Abdou Harroui menyempurnakan sepakan penalti untuk memberikan pendahuluan awal kepada pasukan yang baru dinaikkan liga tersebut.

Juara bertahan itu berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-24 apabila percubaan Matteo Politano dari luar kotak menerjah jaring.

Pasukan pelawat kemudiannya mengubah kedudukan selepas penjaring terbanyak musim lalu Victor Osimhen membuka akaun jaringannya musim ini dengan menyudahkan hantaran Giovanni Di Lorenzo dari sebelah kanan.

Pemain kebangsaan Nigeria itu kemudian menggandakan jaringannya pada minit ke-74 perlawanan selepas mengatasi penjaga gol lawan dalam situasi satu lawan satu.

Juga pada Sabtu, Inter yang menerima kunjungan Monza berjaya mengetepikan lawan menerusi dua jaringan Lautaro Martinez.

Selain itu di tempat lain, Fiorentina membenam Genoa 4-1 manakala Hellas Verona mengalahkan Empoli 1-0. – Bernama, 20 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen